top of page
  • Writer's pictureNizam

UMNO perlu dedah keputusan MKT - Faiz Na'aman

22 Februari 2021

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta agar UMNO mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang diadakan pada Jumaat.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, perkara berkenaan penting kerana mereka perlu merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang..


“Jika Barisan Nasional (BN) bersama PN kita tidak akan bertembung. Jadi kita boleh buat kempen bersama dan menang besar,” katanya.


Pada Jumaat, media melaporkan UMNO telah membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat MKT bagi memutuskan sama ada mereka akan meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu dan PN atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.


Memetik sumber media kemudiannya melaporkan pucuk pimpinan UMNO memutuskan untuk berpisah daripada Bersatu dan gabungan PN pada pilihan raya umum akan datang (PRU-15).


Bagaimanapun Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO pada Ahad lalu menafikan dakwaan yang mengatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Selain itu, terdapat juga laporan media bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa menggunakan kuasa vetonya selaku Presiden UMNO untuk menghalang Barisan Nasional (BN) daripada bergabung dengan PN.


“Itu sebenarnya asas kepada mana-mana parti politik. Majoriti itu asas. Jadi kalau disebabkan hanya seorang yang tidak mahu maka dikatakan orang itu ada kuasa veto jadi sebenarnya rakyat boleh menilai jenis kepimpinan UMNO di bawah Zahid Hamidi.


“Sedangkan majoriti pemimpin mereka di peringkat atas mahukan kerjasama demi perpaduan Melayu dan masyarakat,” katanya.


Menurutnya, jika benar UMNO mengambil keputusan berdasarkan seorang individu yang menggunakan kuasa vetonya sebagai presiden, adalah malang nasib majoriti akar umbi dan pemimpin parti itu yang lebih rasional dan sayangkan perpaduan ummah serta kelangsungan kerajaan yang telah dibina bersama.


“Kerana seolah-olah segala keputusan dicatur oleh pihak yang minoriti dalam parti.


“Sudah tiba masanya orang Melayu Islam khususnya kaum pribumi tidak kira Muslim atau tidak, kita semua berfikir di luar skop parti,” katanya. - PN Online

bottom of page