• newsatmy

UMNO rugikan Melayu jika tidak bersama Pas, Bersatu - Penganalisis

12 April 2021


Jelas Dr Kartini, keengganan tiga parti Melayu itu untuk bersama akan menjadikan DAP secara automatik adalah king maker dalam PRU15. - Astro AWANI


KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO tidak bersama Pas dan Bersatu hanya akan merugikan Melayu, kata Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib.


Jelasnya, ketiga-tiga parti kuat Melayu dan Islam itu harus memikirkan dalam persoalan jangka panjang, bersedia bertolak ansur dan berkongsi kuasa secara kolektif demi negara dan kesejahteraan rakyat bersama.


Jelasnya, keengganan untuk bersama akan menjadikan DAP secara automatik adalah king maker dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


"Saya berpendapat UMNO masih kuat di kawasan UMNO sementara Pas dan Bersatu yang mahu meletakkan calon di kawasan kubu kuat UMNO mungkin hanya bertindak sebagai pengacau di kawasan yang mungkin pada awal mereka boleh mencalonkan diri kemudian menarik diri di saat akhir.


"Ini bukan soal UMNO akan kalah tetapi ini adalah persoalan strategi pilihan raya".


"Jika UMNO bersedia membersihkan parti, Zahid meletakkan jawatan secara terhormat, UMNO boleh mengembalikan kepercayaan rakyat".


"Kalau kita lihat Pas, mereka akan menang lebih kurang 20 kerusi di kawasan kubu kuat Pas. Pas ada pengikut yang setia kepada Pas terutamanya di pantai timur seperti di Kelantan, Terengganu dan beberapa kerusi di Kedah dan Perak," katanya semasa dihubungi pada Isnin.


Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu akanmendapatkan penjelasan Pas berhubung pendirian mereka yang mahu menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi pada PRU15.


Jelasnya, setakat ini, tiada perbincangan antara kedua-dua parti berhubung hasrat menghentikan rundingan pembahagian kerusi selain memperoleh maklumat mengenai perkara itu daripada laporan media.


Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu mengambil pendirian 'tunggu dan lihat' perkembangan dalam UMNO tetapi meneruskan rundingan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 dengan Bersatu.


Tegasnya, pendirian parti itu adalah berikutan keputusan UMNO untuk menolak kerjasama dengan Pas dan Bersatu pada PRU15 nanti.


Dr Kartini turut melihat Pas, UMNO dan Bersatu akan berdepan cabaran besar terutama sekali di kawasan bandar yang mempunyai lebih 30 peratus bukan Melayu.


Tegasnya bukan Melayu akan bersama DAP dan akan mengundi PKR yang bersama dalam Pakatan Harapan (PH).


Bagaimanapun ujarnya, kefahaman mengenai pilihan raya dan tingkah laku pengundi harus dilihat dengan terperinci di peringkat daerah dan pada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.


Jelasnya, pergolakan di peringkat Parlimen tidak memberi gambaran yang menyeluruh terutama sekali dalam isu lompat parti.


"Isu lompat parti ahli UMNO masuk Bersatu dan masuk menjadi PH maka Ahli Parlimen yang lomopat parti tidak akan diterima bertanding di kawasan asal terutama bagi mereka yang dulunya UMNO dan kini Bersatu.


"Sentimen ini yang saya lihat akan menjadi ujian besar kepada parti serpihan seperti Bersatu," katanya. -Astro AWANI