top of page
  • newsatmy

UMNO takkan jadi kerajaan tanpa sokongan PN


KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi amaran kepada pemimpin UMNO yang menggesa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disegerakan bahawa parti itu tidak dapat membentuk kerajaan tanpa sokongan Perikatan Nasional (PN).


Beliau berkata, PN tidak akan teragak-agak “mengambil alih kuasa”, sekiranya gesaan dari UMNO untuk mengadakan PRU15 lebih awal berterusan.


Beliau mengingatkan mereka yang meminta PN menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya jangan sombong dan angkuh.


“Dia naib presiden parti itu pun boleh jadi perdana menteri. Bukan presiden mereka, bukan timbalan presiden mereka, tetapi naib presiden mereka. Mana mungkin naib presiden boleh jadi perdana menteri tanpa sokongan PN.

“Jadi yang angkuh ini pasal apa. Sudah kira betul-betul? Sudah buat bancian yang betul-betul?

“Kalau strategi kita mengena, Insya Allah mereka tidak boleh menang lebih daripada 50 kerusi. Yang konon-kononnya nak mencabar kita pasal apa?” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis perasmian serentak persidangan cawangan-cawangan BERSATU Wilayah Persekutuan, di sini pada Jumaat.


Hamzah berkata demikian mengulas terdapat pemimpin UMNO yang mendesak PRU15 disegerakan tahun ini susulan kemenangan mereka dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.


Hadir sama, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Wilayah Persekutuan Kapten (B) Datuk Suhaimi Yahya, Naib Ketua Srikandi BERSATU Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Armada BERSATU Malaysia Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.


Turut hadir, Ahli Parlimen BERSATU Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar, Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Dr Chong Fat Full dan Ketua Sayap Srikandi Muda (penaja) Nurul Fadzilah Kamaluddin.


Bulan lalu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Oktober atau awal November adalah masa sesuai untuk mengadakan PRU15 kerana pembentangan bajet dapat diawalkan sebelum Parlimen dibubarkan.


Jun lalu, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, masa ini sesuai untuk mengadakan PRU15 kerana sokongan pengundi muda sudah kembali kepada BN berdasarkan keputusan PRN di Sarawak, Melaka dan Johor.

bottom of page