top of page
  • newsatmy

‘Uncle Kentang’ mohon maaf kepada polis isu kompaun RM10,000

29 Mac 2021 IPOH: Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng memohon maaf kepada polis kerana memuat naik kompaun RM10,000 yang diterima pihak ketiga ke Facebooknya, sedangkan perkara itu tidak berlaku.


Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima permohonan maaf Kuan yang lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang” melalui sepucuk surat pada 14 Mac lalu.


“Beliau menjelaskan menerima maklumat daripada ibu kepada individu yang mendakwa dirinya dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 dan berharap pihaknya dapat membantu, namun hasil siasatan mendapati ia tidak benar.


“Individu berkenaan hanya cuba menipu ibunya dengan mengatakan dikenakan kompaun sebagai alasan untuk tidak mengirim wang,” katanya pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.


Status Facebook Kuan itu yang turut dikongsikan bekas perdana menteri, Najib Razak, mendapat perhatian ramai.


Dalam status tersebut, Kuan memuat naik kompaun pelanggaran SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat yang dikeluarkan di Kampung Rapat, di sini, pada 14 Mac lepas.

Maklumat dalam status itu mendakwa seorang pembantu tukang masak dikompaun RM10,000 semasa keluar menerusi pintu belakang restoran untuk menghisap rokok, dan dia tidak dapat mengirimkan wang kepada ibunya kerana terpaksa berhutang dengan restoran bagi membayar kompaun, selain gajinya turut dipotong untuk membayar hutang.


Asmadi berkata, siasatan pihaknya juga mendapati tiada kompaun seperti didakwa dikeluarkan pasukan pemeriksa SOP PKPB dalam kalangan polis daerah Ipoh.

Justeru, katanya, orang ramai diminta tidak terus menyebarkan isu itu kerana ia akan menjejaskan imej dan iltizam pasukan polis untuk memberi perkhidmatan terbaik.

-FMT

bottom of page