top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Undi percaya: Tindakan Peguam Negara membingungkan - Anwar

7 September 2021

KUALA LUMPUR: Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun disifatkan membingungkan apabila menyatakan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang telah dibentuk baru-baru ini.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, langkah itu seolah-olah tidak menurut titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam isu keabsahan Perdana Menteri.


Tegas Anwar, titah Yang di-Pertuan Agong jelas bahawa 'Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat'.


"Membingungkan sebab Peguam Negara hadir dalam pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bersama ketua parti termasuk Keadilan, UMNO, DAP, Amanah, Warisan, Pejuang. Cuma dengan GPS sahaja yang dibuat sebelumnya melalui Zoom.


"Apa yang disebut (titah), menang kalah itu tipis sekali kalau ada yang menang. Maka harus ada semangat kekitaan.


"Kemudian siapa yang diangkat harus dimulakan dengan undi percaya," katanya dalam video di dalam laman Facebooknya pada Isnin.


Sebelum ini, Idrus menyatakan, pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan yang dibuat sebelum ini mengikut lunas undang-undang.


Menurut beliau, ketelitian proses pemilihan dijalankan Yang di-Pertuan Agong, dalam memilih Perdana Menteri menunjukkan pelantikan Ismail Sabri adalah sah menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.


Sebelum ini, Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Idrus berhubung isu undi percaya di Parlimen didakwa bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap baginda di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

bottom of page