top of page
  • newsatmy

Undi UMNO dapat DAP?


Saya tertarik dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam wawancara bersama FMT, yang tidak menolak kemungkinan partinya menjalin kerjasama dengan UMNO kerana “segalanya mungkin dalam politik”.


Menurut Loke, sudah pasti sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Dan seperkara lagi menarik perhatian, Loke berkata DAP terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda sama.


Sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, saya meneliti setiap laporan di media berhubung parti mana yang selalu mendesak supaya RUU itu dilaksanakan segera sebelum PRU15.

Antaranya, DAP dan UMNO.


Saya juga meneliti halaman 11 muka surat kertas pindaan itu, dan tertarik dengan klausa di bawah:


Anggota Parti A yang merupakan ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu jika Parti A, yang merupakan anggota suatu gabungan parti politik, meninggalkan gabungan itu sama ada atau tidak Parti A menyertai gabungan parti politik lain atau membentuk suatu gabungan parti politik yang baharu.

Perkara baharu 49A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli Dewan itu.


Inilah sebenarnya tujuan DAP dan UMNO beria-ria mahu RUU ini segera dilaksanakan supaya selepas pilihan raya, ahli Parlimen parti tidak boleh melompat parti tetapi parti yang diwakili boleh berunding untuk melompat.Ini yang termaktub dalam RUU pindaan perlembagaan yang baharu.


Tolak ketepi seketika agenda memperjuangan rakyat, ekonomi rakyat dan kebajikan rakyat. Perkara itu tetap juga akan dilaksana tak kira kerajaan parti mana yang akan memerintah.

Tetapi, ada perkara yang tidak boleh tolak ansur iaitu akauntabiliti dan kredibiliti sistem kehakiman yang mengheret pemimpin-pemimpin parti politik terhadap perbicaraan kes rasuah dan penyelewengan yang kini sedang berlangsung di mahkamah.


DAP dan UMNO, waima berlainan ideologi politik, dipercayai masih berkongsi agenda sama, iaitu mahu membebaskan pemimpin-pemimpin mereka yang didapati bersalah atas kes penyelewengan, dan yang sedang dalam perbicaraan atas kes rasuah, seperti Presiden UMNO dan Pengerusi DAP.


Kerana itulah, BERSATU, PAS dan PKR tidak termasuk dalam radar kerjasama mereka kerana prinsip anti rasuah, pentadbiran bersih dan telus yang tidak mudah tergadai.

Berdasarkan kepada klausa RUU itu juga, satu perkara yang menarik untuk dicongak, kemampuan DAP untuk membawa suara kaum Cina diyakini boleh mengenepikan MCA dalam BN.


Saya percaya percaturan ini sedang bertiup kencang di peringkat akar umbi walaupun secara amnya, boleh sahaja dinafikan oleh pemimpin atasan parti-parti tersebut.

Pada PRU15 nanti, orang Melayu undi UMNO/BN bersamaan dapat DAP, pengganti MCA.


Penulis adalah Putra Ahmad, seorang penganalisis politik yang pernah berkhidmat di beberapa agensi media tempatan dan kini sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Sains Politik.

Comments


bottom of page