top of page
  • newsatmy

Undi18: Alasan SPR tidak masuk akal, MUDA ambil tindakan mahkamah

26 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Undi18 kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh diterima sama sekali.


Beliau yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, SPR sepatutnya mempunyai masa yang cukup untuk buat persiapan sejak 16 Julai 2019 sebaik Rang Undang-Undang berkenaan diluluskan.


"PKP tidak boleh menjadi alasan atas sikap culas SPR dalam melaksanakan Undi18. SPR seharusnya sudah mempunyai masa yang cukup untuk persiapan Undi18," katanya dalam kenyataan.


Syed Saddiq berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh yang menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal.


Abdul Ghani berkata, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.


Sehubungan itu, Syed Saddiq menegaskan, SPR seharusnya berterus terang dan memaklumkan kepada rakyat apakah yang masih menghalang Undi18 untuk terus dilaksanakan.


"Hormati keputusan Dewan Rakyat. Hormati hak orang muda untuk mengundi dan memilih masa hadapan negara. Kerajaan juga perlu suarakan komitmen untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada Julai 2021," katanya lagi.


Berikutan penangguhan pelaksanaan Undi18, MUDA akan memfailkan kes itu di mahkamah.

Naib Presiden parti berkenaan, Lim Wei Jiet berkata, penangguhan tersebut melanggar hak asasi demokrasi dan bercanggah dengan Perlembagaan negara.


"Lebih dua pertiga wakil rakyat telah menyokong usul ini, maka benarlah kerajaan hari ini begitu takut dengan anak muda.


"Kerajaan hari ini nampaknya begitu tekad mahu menekan anak muda. Hendak seribu daya, takut seribu dalih," ujar Wei Jiet.


Pada 3 November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan, penguatkuasaan Undi18 dijangka selewat-lewatnya pada Julai tahun ini. - AA


bottom of page