• admin

UNGA ke-77: Perdana Menteri tiba di New York untuk ketuai delegasi Malaysia


NEW YORK,22 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy pada 4.10 pagi waktu tempatan bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.

Ketibaannya disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.


Perdana Menteri dijangka menyampaikan ucapan negara di ibu pejabat PBB pada Jumaat, sebahagian daripada sesi debat umum yang berlangsung dari 20 hingga 26 Sept. Ucapannya yang bakal disampaikan dalam bahasa Melayu merupakan penampilan pertama beliau secara fizikal di pentas UNGA selepas menghadiri sesi ke-76 tahun lepas secara maya ekoran pandemik COVID-19.

Di samping sesi debat umum UNGA77, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan-rakan sejawat sepanjang lawatan selama tiga hari di New York.


Pertemuan empat mata akan diadakan bersama Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.

Beliau turut akan bermesyuarat dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, sebelum lawatannya diakhiri dengan majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di bandar raya ini.