• newsatmy

United sedia labur RM514 juta beli Kane

5 Mei 2021

MANCHESTER: Pemilik Manchester United bersedia membelanjakan 90 juta pound (RM514.76 juta) bagi mendapatkan peledak gol Tottenham Hotspur, Harry Kane.


Usaha itu dilihat sebagai usaha keluarga Glazer untuk meredakan kemarahan peminat yang turut terasa hingga ke Florida, Amerika Syarikat, di mana pemilik United menetap.


Walaupun tiada perancangan untuk menjual kelab, keluarga Glazer dilihat cuba memenangi semula hati peminat United.


Satu daripadanya ialah dengan mendapatkan penyerang kelas dunia seperti yang dimahukan pengendalinya, Ole Gunnar Solskjaer.


Kane berada di tangga teratas senarai United dan penyerang England itu juga berminat berpindah ke Old Trafford.


Pengerusi Spurs, Daniel Levy sebelum ini menegaskan sekiranya Kane dijual, ia bukan kepada pesaing Liga Perdana Inggeris (EPL).


Namun masalah kewangan dan tuntutan dana untuk perbelanjaan menjelang jendela perpindahan musim panas ini, mungkin akan menyebabkan Levy berubah fikiran.


Kane, yang meledak 31 gol dan 16 umpanan musim ini, terdesak mahukan kilauan trofi tetapi Spurs seakan kelab yang sukar untuk merealisasikan impiannya itu.


"Apabila melihat kembali karier saya apabila ia berakhir nanti, ini antara perkara yang akan saya ingati, tetapi matlamat sekarang sebagai pemain ialah memenangi trofi.


"Walaupun ini adalah cukup hebat, saya mahu memenangi hadiah lebih besar sebagai satu pasukan," kata Kane ketika memenangi anugerah pemain terbaik Liga Perdana Inggeris di Anugerah Bolasepak London.


-Berita Harian