• newsatmy

Usaha CITF Tingkatkan Kadar Vaksinasi

1 Jun 2021

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan berusaha sehabis baik bagi meningkatkan kadar vaksinasi bagi membolehkan seramai mungkin dilindungi, dalam kadar sesegera mungkin.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sistem kesihatan kini semakin tertekan dan kita menghadapi cabaran penularan varian baru yang lebih agresif.


Kawalan pergerakan pastinya memberi kesan yang besar kepada ekonomi rakyat dan akan ada lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.


Dengan mengambil kira keadaan ini, sudah pastinya Vaksinasi Covid-19 perlu dipercepatkan.


Walaupun sasaran awal adalah 80% penduduk negara divaksinasi sebelum akhir tahun, namun PM telah mengarahkan agar vaksinasi dipercepatkan.


Khairy berkata, mereka telah mengadakan rundingan semula dengan syarikat pembekal agar penghantaran vaksin dapat dipercepatkan.


Daripada rundingan semula tersebut, Sinovac akan selesai menghantar keseluruhan tempahan 12 juta dos sebelum akhir bulan Julai dan Pfizer pula akan menghantar 25 juta dos dalam suku tahun ketiga.


Badan regulatori farmasi negara juga sedang giat membuat penilaian ke atas vaksin satu dos daripada Cansino.


Beliau juga berkata, CITF juga sedang meningkatkan kapasiti vaksinasi dan sedang merancang untuk meningkatkan jumlah ini kepada dua kali ganda menjelang Julai nanti.


Akan ada lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka termasuklah pembukaan PPV mega yang boleh melaksanakan suntikan pada kadar 5000 hingga 10,000 suntikan sehari.


"Saya sedar ramai yang bimbang kesesakan di PPV mega. Saya telah mengarahkan agar SOP dan kawalan yang lebih ketat dilaksanakan bagi mengelakkan keadaan sesak ini," tambahnya lagi.


PPV klinik swasta juga telah mula beroperasi.


Menjelang akhir Jun, CITF mensasarka 1000 PPV klinik swasta bagi membolehkan akses vaksinasi yang lebih mudah kepada orang ramai.


Lebih banyak hospital swasta akan terlibat menjadi PPV dan beberapa PPV pandu lalu juga akan dibuka.


Pasukan jangkauan luar atau mobile outreach team juga telah bergerak di negeri-negeri.


Pasukan ini akan terus digerakkan di pusat jagaan warga emas dan OKU< kampung-kampung, pusat perlindungan gelandangan, kampung Orang Asli serta kawasan-kawasan pedalaman agar tiada yang tertinggal dalam mendapat perlindungan vaksinasi.


"Saya juga akan terus mengadakan lawatan ke negeri-negeri bagi memastikan koordinasi berteruan antara Persekutuan dan negeri,"


Negeri serta daerah di seluruh negara akan diberi ruang untuk melaksanakan vaksinasi di lokaliti masing-masing mengikut kesesuaian dan tempat.


Mereka yang perlu bekerja sepanjang PKP ini perlu divaksinasi agar mereka dan individu di sekeliling mereka terlindung daripada Covid-19.


"Kita juga akan memulakan vaksinasi kepada industri dan sektor ekonomi yang perlu terus beroperasi sepanjang PKP,


"Saya sedar kegusaran orang ramai yang masih menunggu giliran vaksinasi mereka,"


CITF akan berusaha sehabis baik bagi meningkatkan kadar vaksinasi bagi membolehkan seramai mungkin, dilindungi dalam kadar sesegara mungkin.


-PN Online