• newsatmy

Uzzair Zayyan terima biasiswa bola sepak akademi Brazil

11 Jun 2021

KANGAR: 'Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu' perumpamaan yang tepat bagi seorang pemain bola sepak berumur 12 tahun, Uzzair Zayyan Naimulddin yang menerima tawaran biasiswa belajar di British International School Phuket (BISP), Thailand, Ogos ini.


Beliau menerima biasiswa sukan bola sepak berjumlah RM120,000 setahun dan akan diserap di bawah program High Performance Team (HPT) yang dikendalikan oleh Cruzeiro Football Academy Brazil.


Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dalam satu kenyataan berkata Uzzair Zayyan merupakan pelatih Akademi Tunas Kangar di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sejak 2016 hingga kini merupakan antara pemain bola sepak remaja Malaysia mendapat tempat di akademi tersebut.


"Uzzair Zayyan akan menjalani latihan sepenuhnya di bawah pengendali dan modul dari Brazil bersama pemain negara lain dari seluruh dunia," katanya di sini, pada Khamis.


Pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, Beseri ini turut menyertai Kelab Bola Sepak KSMR Kangar Junior (Bawah 9 tahun) dan Kelab Bola Sepak Kangar 09 Dragons (Bawah 10-12) bawah bimbingan jurulatih Norhisham Jaafar serta telah menyertai banyak kejohanan bola sepak di seluruh negara.


PFA berkata pada 2020, Uzzair Zayyan telah dipilih menyertai kem bola sepak peringkat antarabangsa di Belanda bersama Kelab Eropah Ajax Amsterdam di bawah program tajaan TH Global Football Camp namun program tersebut dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.


Kenyataan itu juga menyebut Uzzair Zayyan yang beraksi di posisi tengah memaklumkan beliau turut menjadikan figura Kelab Barcelona, Xavi Hernandez sebagai idola yang dianggap beliau perancang tengah pasukan terbaik dan individu yang dapat membuat keputusan tepat ketika dalam tekanan.


Keputusan Uzzair Zayyan menerima tawaran ini dilihat tepat kerana ia adalah satu platform terbaik bagi mengejar impiannya menjadi pemain bola sepak professional dunia serta menjadi pemain negara kelak.


-- BERNAMA