top of page
  • newsatmy

Vaksin COVID-19: PM terima suntikan vaksin pertama

24 Februari 2021

KUALA LUMPUR - "Tidak rasa pun, macam cucuk biasa," itu yang dikatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menjadi individu pertama disuntik vaksin COVID-19 di negara ini, hari ini.


Beliau berkata selepas disuntik vaksin itu, Muhyiddin menzahirkan rasa syukur selain yakin bahawa vaksin tersebut cukup selamat dan berkesan.


Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar mendaftar imunisasi vaksin melalui aplikasi MySejahtera dengan segera.


"Kalau tengok keadaan saya setakat ini, alhamdulillah. Jadi, saya hendak menyeru seluruh rakyat Malaysia dan mereka yang tinggal di Malaysia untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara percuma.


"Tampil ke hadapan untuk mendaftar dalam MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran bila mana saudara saudari untuk diberi suntikan vaksin COVID-19," katanya.


Malah, beliau menggesa agar rakyat Malaysia untuk yakin dan percaya bahawa usaha yang sedang dilakukan kerajaan ini adalah untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.


"Jadi saya ingin sekali lagi menyeru supaya kita sama-sama mendokong usaha untuk menentukan supaya negara kita dalam satu tempoh dalam masa yang singkat akan bebas COVID-19 ini," ujarnya.


Beliau sebelum itu bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas barisan hadapan yang lain menerima suntikan vaksin COVID-19.


Suntikan yang dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Kesihatan Daerah Presint 11 itu sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - PN Online

bottom of page