top of page
  • newsatmy

Vaksinasi COVID-19 perlu pantas, pastikan kelangsungan ekonomi - Bank Dunia

28 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Proses vaksinasi COVID-19 perlu dilakukan dengan pantas dan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan pemulihan ekonomi berjalan seperti diunjurkan.


Ketua Ekonomi, Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Aaditya Mattoo berkata terdapat negara yang telah memperoleh vaksin, namun proses suntikan berjalan dengan perlahan.


Selain itu, beliau akui, banyak negara kaya bertindak membeli dan menyimpan bekalan vaksin sekali gus memperlahankan proses vaksinasi.


"Apabila kami (Bank Dunia) melihat pelaksanaan vaksinansi, ia hanya sekitar satu hingga lima peratus populasi.


"Ini bermakna terdapat jurang yang besar daripada jumlah vaksin yang sedang atau telah diperoleh dengan jumlah individu yang telah divaksin.


"Antara sebab mengapa proses vaksinasi perlahan sama ada banyak negara masih belum terima vaksin atau negara kaya membolot vaksin tersebut, di mana ada negara yang menyimpan hampir dua kali ganda daripada jumlah yang mereka perlukan," katanya dalam sidang media secara maya pada Jumaat.


Beliau sebelum itu membentangkan Kemaskini Laporan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi April 2021 bertajuk 'Uneven Recovery'.


Antara faktor penyumbang lain termasuk negara yang tidak mempunyai kapasiti untuk memenuhi pelan imunisasi COVID-19 yang dirancang.


"Jadi kita perlu sedar bahawa tiada negara yang akan selamat selagi semua negara belum selamat.


"Jadi isu vaksin di peringkat nasional ini merupakan satu masalah yang besar," ujarnya.


Bank Dunia pada Jumaat mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang pada 6.0 peratus, turun 0.7 peratus berbanding unjuran yang dibuat pada Disember tahun lalu.


Ekonomi Malaysia dijangka pulih seperti pra-pandemik COVID-19 sekitar suku ketiga dan suku keempat tahun ini, lapor Bank Dunia.


- Astro Awani


bottom of page