top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Vaksinisasi: #ibunisasi memastikan tiada golongan tercicir

28 Jun 2021

Pagi semalam, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkesempatan meninjau proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Konvensyen Sunway Pyramid yang pada hari ini dikhususkan untuk wanita hamil.


#Ibunisasi merupakan satu inisiatif proaktif dan responsif Kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal atau tercicir dalam usaha kita melawan virus COVID-19 menerusi program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.


Inisiatif Kerajaan ini juga selari dengan panduan klinikal yang dikeluarkan oleh pembekal vaksin tentang pemberian vaksin kepada wanita hamil seterusnya dikaji dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.


Setakat ini 110,000 wanita hamil telah mendaftar dengan MySejahtera di seluruh negara sejak opsyen khas ini dibuka pada 1 Jun lalu.


Hujung minggu ini sahaja lebih 6,000 wanita hamil sudah menerima vaksinasi di dua PPV sekitar Lembah Klang iaitu Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dan MITEC.


"Saya difahamkan bahawa janji temu vaksinasi juga cuba disesuaikan sebaik mungkin dengan tarikh bersalin,


"Saya dapati proses pemberian vaksin bermula daripada pendaftaran sehingga selepas disuntik berjalan lancar dan rata-rata kaum ibu yang ditemui menyatakan mereka berpuas hati kerana tidak perlu menunggu terlalu lama, dewan PPV luas dan selesa,


"Saya bersyukur ramai wanita yang tampil ke hadapan untuk melindung diri, dengan disokong oleh pasangan dan keluarga masing-masing," ujar beliau.


Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan Kerajaan akan menyediakan bantuan lebih komprehensif bagi membantu golongan yang terkesan sepanjang pelaksanaan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara yang sedang berjalan.


Yang pasti, bantuan yang akan memanfaatkan lebih 12 juta isi rumah termasuk golongan B40, M40 dan T20 ini adalah lebih menyeluruh.


"Insya-Allah perkara ini akan saya umumkan esok atau lusa," tambah beliau lagi.




--PN Online

bottom of page