top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Veteran UMNO cadang kerajaan wujudkan majlis kerukunan politik negara

5 September 2021

GEORGE TOWN: Seorang veteran UMNO mencadangkan kerajaan pusat menubuhkan Majlis Kerukunan Politik Negara (MKPN) untuk merangka rukun-rukun politik supaya semua ahli politik mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh diamalkan dalam berpolitik.


Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata rukun-rukun politik itu boleh dijadikan tiang negara dan panduan kepada semua ahli serta pertubuhan politik supaya mereka tidak menyentuh isu sensitif semata-mata untuk meraih populariti.


Beliau berkata selain itu, rukun tersebut perlu mendukung cita-cita negara dan bertujuan menjaga keharmonian hidup rakyat berbilang kaum serta berteraskan Perlembagaan, Rukun Negara dan Kontrak Sosial.


"Contohnya, rukun politik ini perlu dijadikan syarat dan peraturan bagi semua ahli politik dan pertubuhan politik untuk tidak menyentuh isu-isu sensitif antaranya tidak sama sekali mempertikaikan Perlembagaan Negara, institusi Raja Berperlembagaan dan seterusnya menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan serta agama-agama lain boleh diamalkan.


"MKPN ini boleh dipengerusikan seorang negarawan yang dihormati semua pihak manakala anggotanya terdiri daripada wakil-wakil badan politik serta ahli-ahli akademik yang berwibawa dan dihormati," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Yussof yang dianugerahkan Tokoh Kemerdekaan Negara 2011 berkata MKPN itu boleh diurus selia oleh Kementerian Perpaduan dengan melantik tokoh-tokoh politik, negarawan dan ahli-ahli akademik untuk merangka Rukun Politik Negara.


Beliau yakin jika rukun politik itu dapat diwujudkan, semua ahli politik dan pertubuhan politik terutama golongan muda mempunyai satu garis panduan dan mengetahui parameter untuk berpolitik dengan sihat.


"Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, kita mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk sentiasa celik Perlembagaan, celik Rukun Negara dan celik Kontrak Sosial, ini semua adalah untuk kepentingan semua terutama kepada golongan muda," katanya.


Beliau berkata rukun politik itu juga boleh meningkatkan integriti ahli-ahli politik supaya menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan sedar tahap kebebasan yang perlu dihadkan di negara ini atas faktor keharmonian kaum.


"Ini supaya menerusi pegangan itu, negara kita akan sentiasa berada dalam keadaan aman, damai dan rakyatnya hidup sejahtera serta harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain," katanya.



-- BERNAMA

Comments


bottom of page