top of page
  • Writer's pictureNihaba

Virus omicron lonjak harga emas

6 Disember 2021

SINGAPURA: Harga emas tinggi di tengah-tengah sentimen risiko apabila pelabur mempertimbangkan data pekerjaan dari Amerika Syarikat (AS), pendirian Rizab Persekutuan (Fed) dan ancaman varian Omicron.


Data Jumaat lalu menunjukkan pertumbuhan pekerjaan di AS mencatatkan peningkatan paling kecil tahun ini, manakala kadar pengangguran jatuh lebih tinggi berbanding unjuran kepada 4.2 peratus, gambaran bercampur-campur yang bagaimanapun mungkin memaksa Fed untuk mempercepatkan pengurangan rangsangan pandemik.

Sementara itu, ahli ekonomi Goldman Sachs Group Inc menurunkan unjuran ekonomi AS tahun ini dan hadapan selepas merumuskan bahawa penularan Omicron akan memberikan 'kesan penurunan sederhana' terhadap pertumbuhan.


Presiden Moderna Inc, Stephen Hoge, berkata terdapat 'risiko sebenar' bahawa vaksin COVID-19 sedia ada kurang berkesan terhadap Omicron, manakala penasihat perubatan AS, Anthony Fauci berkata ancaman varian berkenaan mungkin terhad.


Harga emas meningkat pada akhir minggu lalu bagi mengakhiri penurunan selama tiga minggu berturut-turut, di tengah-tengah prospek dasar monetari yang kurang akomodatif dan risiko Omicron.


Harga pengguna AS yang akan dikeluarkan Jumaat ini diunjur mencatatkan peningkatan tahunan tertinggi dalam tempoh beberapa dekad, sekali gus memberi tekanan kepada Fed untuk segera melaksanakan dasar yang lebih ketat.


Harga spot emas stabil pada AS$1,784.51 seauns di Singapura selepas meningkat 0.8 peratus pada Jumaat.

Indeks Bloomberg Dollar Spot hampir tidak berubah.

Sementara itu, harga perak, palladium dan platinum masing-masing meningkat.

-Bloomberg/BH

Comments


bottom of page