top of page
  • Writer's pictureNizam

Warga emas, penerima Sinovac tanpa dos penggalak, status tidak lengkap di MySejahtera

16 Disenber 2021

Kementerian Kesihatan menyeru penduduk berusia 60 tahun ke atas serta penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak sebelum Februari 2022 untuk mengekalkan status vaksinasi lengkap.

“Jika tidak buat demikian, status akan ditukarkan kepada putih dan tidak dikira (berstatus) dos lengkap dalam MySejahtera,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.


Khairy mengumumkan perkara itu bersama beberapa langkah tambahan bagi mengekang penularan COvid-19 selepas kemasukan kes kedua varian Omicron yang diumumkan hari ini.


Kes kedua Omicron yang diumumkan hari ini melibatkan kanak-kanak lapan tahun yang pulang daripada Nigera. Sebanyak 18 lagi kes mungkin melibatkan varian sama tetapi belum dapat disahkan sementara menunggu keputusan ujian penjujukan genom.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 4,107,585 individu yang layak telah menerima dos penggalak sejak program suntikan itu dimulakan Oktober lalu hingga semalam.


Pemberian dos penggalak bertujuan meningkatkan semula imuniti tubuh bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, susulan kajian mendapati keberkesanan semua jenis vaksin dalam melawan virus itu semakin menurun.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan panggilan daripada KKM untuk menerima suntikan dos penggalak.

bottom of page