• newsatmy

Warga Myanmar dihantar pulang walaupun mahkamah benar penangguhan

24 Februari 2021

Jabatan Imigresen mengusir 1,086 warga Myanmar hari ini walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaannya.


Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata semua pendatang yang tidak memiliki dokumen dihantar pulang dengan tiga kapal tentera laut milik tentera laut Myanmar.


Mereka bertolak dari pangkalan tentera laut di Lumut, Perak.


"Jabatan imigresen dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia, National Task Force (NTF) dan pihak kedutaan Myanmar, telah melaksanakan program penghantaran pulang 1,086 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warganegara Myanmar pada hari ini," katanya.


Terdahulu, mahkamah memberikan penangguhan sementara terhadap rancangan kerajaan menghantar pulang 1, 200 warga Myanmar hingga jam 10 pagi (24 Februari).


Keputusan itu dibuat setelah NGO Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia mengemukakan permohonan untuk memohon campur tangan mahkamah.


Khairul sekali lagi menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang merupakan Pati warganegara Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.


"Semua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan oleh mana-mana pihak," katanya.


Malaysiakini telah menghubungi jabatan tersebut untuk mendapatkan komen.


Agensi pelarian PBB, UNHCR sebelum ini meminta proses pengusiran dihentikan dengan menyatakan kebimbangan bahawa kemungkinan terdapat wanita dan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan antarabangsa.


Ia juga mengatakan telah dilarang memasuki pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019 dan tidak dapat mengenal pasti tahanan yang menjadi pelarian.


Malaysia tidak mengiktiraf pelarian dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa dokumen.


Walaupun tidak diakui, Malaysia merupakan negara bagi sekitar 154,000 pelarian dari Myanmar, selain pekerja asing tanpa dokumen.


Sementara itu, Khairul berkata Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri juga berusaha menghantar pulang warga negara dari Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan negara-negara lain yang tidak memiliki dokumen.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.