top of page
  • newsatmy

Warisan Sedang Pertimbang Lebar Sayap ke Semenanjung



Warisan sedang menimbang untuk mengembangkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia, kata ketua pemudanya, Mohd Azis Jamman.


Berucap dalam acara perasmian Perhimpunan Agung sayap Pemuda (Wira), Wanita dan Wirawati Warisan di Kota Kinabalu hari ini, Azis berkata perjuangan perpaduan yang dibawa Warisan, seperti yang ditunjukkan pada PRN lalu, perlu dibawa ke peringkat nasional.

Katanya lagi, PRN Sabah pada September lalu telah membuka mata pemimpin politik dan warga di Semenanjung terhadap perjuangan Warisan.


"Ada sesuatu yang besar akan berlaku dalam masa terdekat. Warisan akan memperkembangkan sayapnya ke semenanjung.


"Cara menuju ke depan adalah perpaduan dan perpaduan inilah kita (ingin) bawa ke peringkat nasional," katanya.


Katanya lagi, perkara itu akan dibawa ke perhimpunan agung peringkat pusat untuk dipertimbangkan.


Mengulas lanjut, Azis berkata Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah cuba membuat langkah yang sama tetapi tidak berjaya.


"Tetapi kita tidak akan tahu jika tidak mencubanya," katanya lagi sambil menambah kepimpinan Warisan bukan saja telah menarik penduduk negeri itu, tetapi penyokong daripada Semenanjung.


Turut hadir dalam acara perasmian itu ialah Setiausaha Agung Loretto S Padua, Ketua Wanita Siti Aminah dan Ketua Wirawati Isnaraissah Munirah Majilis.


Perwakilan pula menyertai perhimpunan secara maya ekoran wabak Covid-19.


Warisan diasaskan oleh presidennya Shafie Apdal pada April 2016 setelah dia keluar daripada Umno. Ketika itu keanggotaannya digantung kerana mempersoalkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak berhubung skandal 1MDB.


Warisan kemudian berjaya menubuhkan kerajaan negeri Sabah selepas PRU14, sebelum tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah yang merangkumi PN, BN dan PBS pada PRN lalu.



bottom of page