top of page
  • Farah

'Warisan tidak diterima dalam kabinet'


KOTA KINABALU 11 Jan: Majlis Angkat Sumpah di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu pada hari ini menyaksikan penyertaan tiga muka baharu daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Christina Liew (PH), Phoong Jin Zhe (PH), dan Datuk James Ratib (BN).


Ketiadaan wakil daripada Parti Warisan (Warisan) di dalam kabinet kerajaan negeri Sabah itu menurut Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata merupakan antara keputusan yang dipersetujui bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) Sabah, dan lima ADUN Barisan Nasional (BN) Sabah.

"Daripada Warisan dan daripada satu kumpulan yang telah mengadakan penentangan terhadap Ketua Menteri itu memang kita telah persetujui bersama tidak akan menerima mereka", ujar Shahelmey ketika ditemui media di luar Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.


Keputusan tersebut dipercayai rentetan peristiwa cubaan menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.


Sebelum ini, Warisan melalui presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri berdasarkan Fasal 6(3) dan (7) Perlembagaan Negeri Sabah serta menggesa beliau meletakkan jawatan memandangkan Hajiji bukan lagi ketua parti dan tidak memiliki majoriti berdasarkan Fasal 6(7).


Tindakan Warisan yang dilihat senada dengan BN Sabah itu akhirnya membawa konotasi politik berbeza oleh orang awam seolah-olah keduanya mempunyai hubungan kerjasama untuk 'merampas kerajaan' daripada Hajiji.

Namun, perkara tersebut menurut Shafie merupakan sekadar dakwaan orang awam sahaja.

bottom of page