top of page
  • newsatmy

West Ham bikin Chelsea 'gigit jari'

5 Disember 2021

WEST Ham United mengejutkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea apabila melakar kemenangan 3-2 di Stadium London malam tadi.


Skuad The Hammers itu bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum berjaya meraih tiga mata berharga dengan gol lewat perlawanan menerusi pemain pertahanan gantian, Arthur Masuaku.


Chelsea terlebih dulu tampak garang apabila tonggak pertahanan, Thiago Silva menjaringkan gol menerusi tandukan hasil sepakan sudut yang diambil Mason Mount pada minit ke-28.


West Ham berjaya menyamakan kedudukan apabila Manuel Lanzini menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-40.


Sepakan penalti itu berpunca akibat kesilapan Jorginho yang melakukan hantaran ke belakang yang lemah sebelum penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy menjatuhkan Jarrod Bowen.


Namun, Chelsea hanya mengambil masa empat minit untuk kembali di hadapan apabila Mount meledak gol kedua The Blues hasil hantaran jauh Hakim Ziyech.


Chelsea membawa masuk Romelu Lukaku pada awal babak kedua untuk menggantikan Kai Havertz yang mengalami kecederaan.


Bagaimanapun, West Ham kembali memberi tekanan kepada Chelsea apabila menyamakan kedudukan hasil jaringan Bowen pada minit ke-56.


Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Masuaku muncul wira West Ham apabila menyumbat gol kemenangan The Hammer pada minit ke-87.




Artikel asal di Sinar Harian

bottom of page