• Arissa

YDP Agong berhak arah Parlimen bersidang - Noh Omar

19 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong berhak mengarahkan Parlimen bersidang tanpa perlu mendapat nasihat perdana menteri berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar.


Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Noh yang juga anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat itu menjelaskan beliau sependapat dengan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung kuasa Agong untuk memanggil sidang Parlimen.


"Saya setuju dengan pandangan Ku Li (Tengku Razaleigh). Kalau Perlembagaan masih kuat kuasa, Artikel 55 mesti terpakai tetapi bila ada Ordinan Darurat maka Ordinan Darurat mengatasi perlembagaan maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan parlimen bersidang tanpa nasihat perdana menteri.


"Kalau Artikel 55 tidak terpakai maka Artikel 40 juga tidak terpakai.


"Ringkasnya Ordinan Darurat yang dibuat menurut Artikel 150 (2C) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu Undang-Undang Persekutuan.


"Pada menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Darurat, Yang di-Pertuan Agong tidak tertakluk di bawah Artikel 40 untuk bertindak menurut nasihat Kabinet," katanya.


Noh berkata Seksyen 14 Ordinan Darurat secara spesifik menggantung operasi perlembagaan dalam hal memanggil atau memprorog atau menangguh sidang Parlimen.


"Kuasa itu diletakkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


"Maka, Yang di-Pertuan Agong di dalam menjalankan fungsi di bawah Seksyen 14 Ordinan Darurat, boleh bertindak menurut budi bicaranya, tanpa tertakluk kepada nasihat kabinet," katanya lagi.


Pada Khamis, Tengku Razaleigh memberi pandangan berhubung polemik mengenai parlimen perlu bersidang secepat mungkin.


Katanya, perdana menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong melanggar Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan kerana di bawah peruntukan itu baginda bertanggungjawab memanggil sidang Parlimen dalam masa enam bulan daripada tarikh akhir persidangan Parlimen yang lalu.


Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.


Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.


--Awani