• newsatmy

Zii Jia korbankan cuti Tahun Baharu Cina untuk All England

26 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia semalam mendedahkan beliau tidak menyambut Tahun Baharu Cina baru-baru ini untuk membuat persiapan All England, selepas kembali daripada kejohanan di Thailand dengan tangan kosong.


Zii Jia yang baharu dimahkotakan sebagai Juara All England berkata untuk mengekalkan tumpuan sepenuhnya kepada latihan, beliau memberitahu keluarganya di Kedah yang dia tidak mendapat kebenaran untuk pulang menyambut Tahun Baharu Cina pada Februari.


"Sebenarnya, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) membenarkan semua pemain untuk menyambut Tahun Baharu Cina tetapi saya membuat keputusan untuk tinggal dan menumpukan kepada latihan. Hanya saya yang tinggal di kem dan berlatih berseorangan sepanjang waktu itu," katanya menerusi satu sidang media maya di sini semalam.


Kesungguhan Zii Jia membuahkan hasil selepas beliau merangkul juara perseorangan lelaki All England dengan kemenangan sensasi 30-29, 20-22, 21-9 ke atas juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark di Birmingham, Ahad lepas.


Zii Jia berkata beliau dan jurulatihnya Hendrawan sungguh kecewa selepas dia kecundang dalam tiga kejohanan berturut-turut di Thailand.


Zii Jia tewas kepada pilihan kedua Chou Tien Chen dari Taiwan dalam suku akhir Terbuka Thailand Yonex sebelum tumpas kepada pemain India Sameer Verman dalam pusingan pertama Terbuka Thailand Toyota.


Beliau kemudian tewas kesemua tiga perlawanan dalam Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).


"Saya sungguh gembira selepas perlawanan (final All England) dan terus menghubungi Hendrawan untuk berkongsi saat manis itu dengannya. Saya lihat beliau mengalirkan air mata gembira dengan kemenangan saya ke atas Axelsen ... beliau amat bangga dengan saya," katanya.


Anak Kedah yang kini di ranking kelapan dunia berkata keyakinan beliau bertambah selepas melangkah ke separuh akhir Terbuka Switzerland, sebelum bertanding dalam All England.


"Saya tidak jangka menang All England, saya berharap saya akan mengekalkan keyakinan, terus berlatih dengan gigih dan melakukan persiapan untuk Terbuka Malaysia nanti," katanya.


Zii Jia berkata beliau tidak mahu dibandingkan dengan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, kerana setiap orang mempunyai perjalanan kerjaya sendiri.


"Adalah mustahil untuk mengulangi kejayaan Chong Wei. Saya mempunyai kisah sendiri dan perjalanan yang perlu diteruskan. Saya mahu kekal fokus dan bertarung sepanjang kerjaya saya," katanya.


Zii Jia bertekad untuk memberikan aksi terbaik di Sukan Olimpik Tokyo Julai nanti dan tidak mahu meletakkan tekanan yang tinggi dengan meletakkan pingat emas sebagai sasaran.


-- BERNAMA