top of page
  • admin

10 isu utama Ahli Parlimen PN perjuangkan

6 Mac

BERIKUT adalah antara isu dan cadangan yang telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) sepanjang sidang pada minggu ini (27 Februari – 2 Mac 2023):


1. Pengeluaran KWSP Bersasar.


Ahli Parlimen PN telah mencadangkan agar pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar dipertimbangkan kerajaan.


Impak pengeluaran KWSP secara bersasar ini adalah sangat besar terhadap pemulihan ekonomi, selain dapat membantu golongan yang memerlukan.


Perkara ini telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Krai, Tasek Gelugor, Pasir Mas, Putrajaya dan Arau.


2. Semangat federalisme yang semakin tempang.


Isu penyaluran royalti 5 peratus sumber petroleum yang disekat kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan, pemberian wang ihsan tanpa melalui kerajaan negeri serta status projek Kedah Aerotropolis adalah antara yang menjadi perhatian Ahli Parlimen PN.


Perkara ini telah dibangkitkan oleh Kuala Terengganu, Pokok Sena, Kuala Krai, Pendang, Padang Serai, Jerantut, Arau dan Sik yang menggesa agar kerajaan bersikap lebih adil dan menghormati semangat federalisme.


3. Peruntukan untuk Bumiputera.


Hala tuju kerajaan dalam memelihara kepentingan bumiputera terus menjadi tanda tanya apabila banyak program-program bumiputera ditarik balik.


Banyak persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PN seperti Larut, Marang, Pasir Mas dan Kuala Krai bagi menuntut penjelasan apakah strategi kerajaan bagi membantu kaum bumiputera di negara ini.


4. Isu pertahanan negara.


Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Tanah Merah menyatakan kekhuatiran dan meminta penjelasan daripada Kementerian Pertahanan mengenai peruntukan sebanyak RM17.7 bilion yang dilihat tiada peningkatan ketara berbanding jumlah peruntukan tahun lepas iaitu RM16 bilion.


PN mencadangkan supaya Kementerian Pertahanan menentukan pembelian aset mereka sendiri supaya tidak lagi berlaku ketirisan seperti sebelum ini.


5. Insentif kepada guru.


Nurul Amin Hamid, Ahli Parlimen Padang Terap telah membangkitkan isu insentif kepada guru gred DG41 yang melaksanakan tugasan di luar kelas dan usaha kerajaan dalam mengurangkan lambakan beban tugasan guru sehingga menyukarkan guru-guru untuk fokus kepada tugasan hakiki mengajar anak murid.


Lebih 10,000 guru berdasarkan laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada tahun lepas dan antara punca keadaan itu ialah isu bebanan tugas guru.


6. Kebajikan penjawat awam.


Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menyeru kerajaan supaya tidak menjadikan dendam kepada penjawat awam susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.


Ahli Parlimen Gua Musang dan Sik turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya memperuntukkan RM700 kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2023 berbeza dengan inisiatif baru yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.


7. Peruntukan untuk Ahli Parlimen.


Tindakan kerajaan mengumumkan langkah-langkah penjimatan dengan mengurangkan perkhidmatan kepada rakyat adalah amat mengecewakan.


Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas telah mempersoalkan keputusan kerajaan mengurangkan peruntukan Ahli Parlimen dari RM3.8 juta kepada RM1.3 juta namun menaikkan perbelanjaan mengurus khususnya pada Jabatan Perdana Menteri sedangkan peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen adalah untuk kawasan bukan untuk Ahli Parlimen.


8. Nasib golongan nelayan.


Nasib golongan nelayan perlu dibela dengan menaikkan elaun bantuan bulanan nelayan laut dan sungai kepada RM500 sebulan.


PN melalui Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Tasek Gelugor telah memohon agar kerajaan mempertimbangkan, menaikkan elaun sara hidup nelayan daripada RM300 pada RM500 sebulan dengan penambahan RM200.


9. Kebajikan doktor.


Dato’ Dr. Alias Razak, Ahli Parlimen Kuala Nerus meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada kementerian berhasrat untuk mengkaji semula struktur gaji serta kebajikan doktor dan petugas kesihatan sesuai dengan bebanan tugas yang dipikul mereka.


Dr. Abd Ghani Ahmad, Ahli Parlimen Jerlun turut meminta kerajaan, terutama Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan langkah mengatasi isu lambakan doktor pelatih kerana memberikan kesan terhadap hospital berikutan bilangan pesakit semakin bertambah.


10. Sistem model gaji progresif.


Cadangan Datuk Awang Hashim, Ahli Parlimen Pendang berhubung pelaksanaan sistem model gaji progresif di Malaysia telah disambut baik oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).


Menurut Datuk Awang, sistem penggajian minimum dilihat semakin tidak relevan apabila kos sara hidup semakin meningkat tanpa kawalan.


“Jika tidak dapat laksanakan secara menyeluruh, saya cadangkan agar ia dilaksanakan secara berperingkat, mungkin bagi beberapa sektor dahulu,” – Datuk Awang Hashim.


ZURK AHMAD

Ketua Pengarah

Jabatan Penerangan PAS Pusat

bottom of page