top of page
  • admin

10 isu utama PN bawa ke Parlimen

21 Mac

PEMBANGKANG yang bagus adalah pembangkang yang mampu menjadi mekanisme semak imbang berkualiti kepada kerajaan khususnya dalam aspek perangkaan dasar dan penyelesaian isu rakyat. Adakalanya terdapat cemuhan daripada netizen kononnya PN adalah pembangkang yang bisu dan lemah, namun sejauh manakah kenyataan ini didasarkan dengan hujah?


Berikut adalah antara 10 isu besar yang dibawakan oleh Ahli Parlimen PN sepanjang Sidang Dewan Pertama – Penggal Kedua Parlimen Ke Lima Belas:


1. Penghayatan semangat federalisme dan keadilan pengagihan peruntukan.


Sewaktu perbahasan Belanjawan 2023, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyentuh berkenaan ketidakadilan dalam pungutan hasil dan sumber bumi dari negeri pembangkang namun dalam pengagihan pula sangatlah kecil khususnya kepada wilayah kurang membangun seperti Utara Malaysia, Pantai Timur serta Sabah Sarawak. Beliau juga turut menegaskan bahawa segala bentuk usaha ekonomi dan bantuan kepada rakyat tidak akan berhasil sekiranya penyelewengan dan rasuah terus mengakar dalam negara.


2. Isu penangguhan Projek Tebatan Banjir oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX).


Atas dasar kononnya projek rundingan terus dicemari unsur ketirisan, PMX telah menamatkan 6 projek tebatan banjir termasuklah di Negeri Johor pada Januari lalu, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dari Kubang Kerian telah bangkit mempersoalkan kewajaran tindakan ini serta di mana asas kerajaan dalam membuat perkiraan kononnya berjaya menjimat RM1.8 bilion, sedangkan projek masih belum berjalan. Tindakan menangguhkan projek RTB ini sebaliknya hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan kerana peningkatan kos bahan binaan serta risiko bencana yang tetap melanda.



3. Isu Tahap Sara Diri (SSL) lembu pedaging.


YB Datuk Idris Ahmad mewakili Bagan Serai telah menyentuh berkenaan ketidakseimbangan antara tahap sara diri (SSL) bagi daging lembu, kambing dan kerbau negara yang setakat ini berada pada paras 18.9 peratus sahaja berbanding SSL daging babi pada paras 93.4 peratus. Bagan Serai seterusnya memberikan penekanan kepada kerajaan agar memberikan suntikan sinergi kepada industri daging negara agar dapat ditingkatkan SSL serta daya kompetitifnya.



4. Isu pembasmian ekonomi gelap.


Ekonomi gelap merupakan segala kegiatan ekonomi yang berada di luar pemantauan dan cakupan pihak berkuasa. Menurut YB Dato Takiyuddin Hassan dari Kota Bharu, amalan ‘tax evasion’ dan ketirisan dana awam juga perlu dititikberatkan Kerajaan Madani kerana ia turut memberi kesan kepada kehilangan sumber yang besar kepada negara. Saiz ekonomi gelap di Malaysia dianggarkan RM300 bilion setahun.



5. Isu bencana banjir dan agihan peruntukan tidak adil.


Menyentuh isu banjir besar yang melanda Johor, YB Dato Siti Hjh Zailah telah menggariskan 9 isu kritikal banjir beserta solusinya sekali. Antara isu yang diutarakan adalah berkenaan agihan bantuan yang lambat, kekurangan tenaga sukarelawan serta kekurangan alat logistik seperti kenderaan. Beliau mewakili Rantau Panjang menegaskan bahawa peruntukan kepada Ahli Parlimen tidak wajar dikurangkan bahkan perlulah bersifat adil khususnya kepada kawasan-kawasan yang kerap terjejas banjir.


6. Pengeluaran KWSP bersasar.


YB Ustaz Fadhli Shaari dari Pasir Mas menerusi perbahasan Belanjawan telah membawa keluh kesah rakyat dalam isu pengeluaran KWSP. Bantuan RM500 daripada Kerajaan Madani kepada akaun KWSP rakyat adalah tindakan baik, namun ia tidak meredakan masalah semasa rakyat. Pengeluaran KWSP secara bersasar kepada kumpulan yang layak dan memerlukan adalah langkah seimbang buat masa sekarang dan wajar dipertimbangkan kerajaan.



7. 7 tuntutan kepada Kementerian Belia dan Sukan.


YB Ustaz Afnan Hamimi dari Alor Setar telah bangkit mengajukan 7 tuntutan kepada KBS yang diterajui YB Hannah Yeoh. Antaranya termasuklah berkenaan pembangunan industri E-sport, cadangan program sukan identiti daerah serta berkenaan program Ziarah Gereja oleh entiti bawah KBS. KBS sebagai entiti Kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan jutaan belia di Malaysia perlu lebih bertanggungjawab dan serius dalam usaha-usaha memartabatkan belia sesuai dengan acuan Malaysia.



8. Isu penciptaan peluang pekerjaan baharu.


YB Syahir Sulaiman, Ahli Parlimen Bachok sewaktu perbahasan belanjawan peringkat jawatankuasa telah menyentuh berkenaan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang tinggi kepada Kementerian Ekonomi. Menurut beliau, dengan kos sebesar RM4.2 bilion ini kerajaan wajib membawa kesan berganda kepada ekonomi jika dibandingkan kementerian lain dalam masa sama merangka jangkaan jumlah pekerjaan baharu yang akan dijana.



9. Isu tambakan laut Pulau Pinang.


Isu tambakan laut di Southern Island Pulau Pinang adalah isu yang amat hangat dan memberi kesan kepada rakyat khususnya golongan nelayan dan orang Melayu. YB Ustaz Fawwaz mewakili Permatang Pauh telah menyentuh berkenaan projek ini yang bakal merosakkan habitat marin serta melenyapkan sumber pendapatan nelayan di kawasan tersebut.



10. Isu nepotisme dan kronisme Kerajaan Madani.


YB Ustaz Nurul Amin telah menegur hipokrasi dan muka tembok kerajaan dan pemerintah negara yang siang malam berucap berkenaan membasmi nepotisme dan kronisme, namun gagal dalam mengamalkan apa yang dikatakan. YB Padang terap telah membangkitkan persoalan berkenaan lantikan Setiausaha Sulit Kanan dan Setiausaha Politik bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang dikatakan adik-beradik. Dalam situasi lain pula, kita melihat lantikan politik terus berjalan dalam GLC seperti MARA, Felcra dan ITBM. Di mana konsistensi kerajaan Madani?


Kesimpulan


Kesemua isu yang disentuh ini hanyalah sebahagian kecil daripada semua-semua isu rakyat yang dibawakan oleh Ahli Parlimen PAS-PN di Dewan Rakyat. Hal ini merupakan isyarat dan bukti kukuh bahawa budaya politik PAS meletakkan kepentingan rakyat sebagai antara objektif utama serta PAS-PN tidak pernah melupakan tugas utama mereka sebagai mekanisme semak imbang kepada setiap gerak geri kerajaan. PAS masih pembangkang yang bisukah?


ZURK AHMAD

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat -HARAKAH

bottom of page