top of page
  • admin

13 Lagi Mangsa Sindiket Tipu Kerja Di Kemboja Selamat Dibawa Pulang


PUTRAJAYA,01 Okt: Seramai 13 lagi rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah diselamatkan dan pulang ke tanah air pada Jumaat dengan penerbangan AirAsia.


Wisma Putra berkata sehingga kini seramai 261 mangsa telah berjaya diselamatkan dengan 171 orang telah dibawa ke tanah air manakala baki 90 orang lagi sedang menunggu proses penghantaran pulang.


“Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 21 September, satu jawatankuasa khas diketuai Kementerian Luar ditubuhkan bagi menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara bersepadu dan menyeluruh.


“Mesyuarat pertama jawatankuasa khas tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara dalam talian pada 27 September,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.


Wisma Putra berkata jawatankuasa khas tersebut turut dianggotai Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.


Katanya kementerian telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua perwakilan negara yang terlibat pada 30 September bagi memaklumkan pendirian Malaysia yang memandang serius isu ini.


“Pertemuan ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan kerjasama negara terlibat dalam menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa,” katanya.


Dalam pada itu kata kenyataan itu, ketua perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand telah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu secara cepat.


Jelasnya kementerian dan PDRM sedang menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama lebih rapat diadakan dengan pihak berkuasa negara berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini.


“Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada PDRM dan Kementerian Luar sekiranya ada di antara ahli keluarga menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya.


bottom of page