top of page
  • cik skod

131 korban rusuhan bola sepak: Ratusan polis mohon maaf


MALANG, Indonesia,12 OKT: Ratusan anggota polis Malang memohon maaf beramai-ramai atas tragedi di Stadium Kanjuruhan, Kabupaten Malang yang mengorbankan nyawa sekitar 131 orang.


Perkara itu dilakukan di halaman ibu pejabat Polis Kota Malang, Isnin, 10 Oktober(waktu tempatan) sebagai tindakan memohon maaf dan pada masa yang sama mendoakan semua mangsa dalam salah satu tragedi bola sepak paling gelap di Indonesia, termasuk dunia., lapor Tangerang News.


Dalam gambar yang tersebar di media sosial, kakitangan berpakaian seragam lengkap sedang sujud dalam beberapa baris termasuk Ketua Polis Kota Malang Kombes Pol Budi Hermanto yang sujud di atas podium.


Ketua Polis Perhubungan Awam Kota Malang, Ipda Eko Novianto berkata, sujud beramai-ramai itu dilakukan secara spontan dalam himpunan di bawah arahan langsung Ketua Polis dan aksi tersebut dihadiri lebih kurang 100 anggota.


“Ini adalah satu bentuk empati kami, di mana wujud ikatan emosi antara kami dan masyarakat Malang termasuk Aremania (Penyokong kelab bola sepak Indonesia Arema FC),” katanya,

Dalam pada itu, Menurut Nasional Tempo pula, Pakar psikologi forensik Reza Indragiri berkata, permohonan maaf dari polis ini penting untuk merawat luka masyarakat Indonesia atas tragedi Kanjuruhan.


“Mengingatkan saya tentang tindakan simpati yang sama yang dilakukan oleh ramai anggota polis selepas kematian George Floyd(seorang lelaki kulit hitam Amerika yang dibunuh dalam tahanan polis) dan penyesalan serta permohonan maaf seperti ini sememangnya sangat penting.


“Ini kerana, berbeza dengan perkara jenayah dan etika, mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk diselesaikan, luka dalaman rakyat sudah pasti akan terbuka untuk jangka masa yang sangat lama,” katanya.


Reza berkata lagi, bahawa permohonan maaf tanpa akauntabiliti jelas tidak berguna.

“Perkara ini seperti ungkapan ‘reformasi polis’ dan ia telah berkobar-kobar selama beberapa dekad, dan telah bergema lagi sejak kebelakangan ini, tetapi bagaimana reformasi itu akan dilakukan? Saya tidak tahu,katanya.


Paling penting, Reza berkata, Presiden Jokowi perlu mengeluarkan perintah eksekutif mengenai senjata dan prosedur pengendalian orang ramai oleh Polis.

Langkah ini dianggap penting kerana perubahan minda dan budaya mengambil masa yang lama dan berliku.


Reza menilai bentuk permohonan maaf daripada pihak polis ini penting kerana masyarakat masih mempunyai luka sanubari selepas kejadian mengorbankan 131 orang di Stadium Kanjuruhan.


Menurut Reza, apabila polis di balai polis Malang melakukan perkara seperti itu, diharap dapat menyakinkan orang ramai bahawa polis benar-benar mahu memberikan penawar bagi luka tersebut.


Terdahulu, kekecohan selepas perlawanan Arema FC menentang Persebaya Surabaya dengan keputusan akhir 2-3 pada 1 Oktober 2022, meragut 131 nyawa manakala 469 cedera

bottom of page