top of page
  • newsatmy

132 menara komunikasi akan dibina di Johor

17 NOVEMBER 2021

JOHOR BAHRU: Rangkaian mudah alih 4G di negeri ini ditambah baik dengan132 buah menara komunikasi baharu akan dibina, khususnya di kawasan luar bandar di bawah Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).


Ketua Bahagian Infrastruktur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bukhari Yahya berkata, penyediaan menara komunikasi baharu itu di kesemua 10 daerah di negeri ini.


Katanya, dalam pelaksanaan di bawah Fasa 1 Pelan Jendela, sebanyak 101 menara komunikasi telah siap dibina hingga Jun tahun lalu.


“Fasa 1 Pelan Jendela yang bermula pada tahun lalu menyasarkan untuk membina sebanyak 233 buah menara telekomunikasi bagi meluaskan liputan jalur lebar mudah alih di negeri ini.


“Daripada jumlah itu, 101 daripadanya telah siap dibina hingga Jun lalu, manakala selebihnya dalam proses pelaksanaannya.


“Selain itu, sejumlah 3,409 alat pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G dan 2,877 daripadanya telah pun selesai dinaik taraf hingga Jun lalu,” katanya pada Taklimat Penerangan Liputan Internet dan Telekomunikasi Negeri Johor di Auditorium RTM, di sini hari ini.


Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.


Bukhari memberitahu, Johor adalah antara negeri yang mempunyai capaian internet yang tinggi dan mendapat liputan meluas.


Capaian liputan mudah alih 4G di kawasan berpendudukan di negeri ini mencapai 98 peratus setakat suku ketiga tahun ini.


SKMM turut mengambil maklum aduan yang diterima pihaknya berhubung masalah perkhidmatan komunikasi bagi mempercepatkan serta merancakkan pembangunan infrastruktur digital, terutamanya di kawasan kampung di pinggir bandar dan luar bandar.

bottom of page