top of page
  • Writer's pictureNihaba

146 Tan Produk Sejuk Beku Tak Sah Disita Hingga Oktober

27 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) telah merampas 146 tan produk daging sejuk beku yang dibawa masuk secara tidak sah ke dalam negara dari Januari hingga Oktober ini.


Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata rampasan itu bernilai RM2.33 juta dengan Kelantan mencatatkan negeri tertinggi nilai rampasan iaitu 74 tan bernilai RM692,838.


“Kesemua serahan itu adalah hasil daripada sitaan terhadap pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses lucut hak di bawah kesalahan Subseksyen 11 (1) dan 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).


“Bagi melupuskan produk sejuk beku ini, kita menjadikan ia sumbangan bekalan makanan kepada enam jabatan dan agensi berkaitan berupa produk daging sejuk beku hasil rampasan yang dilucuthakkan membabitkan kes dari September hingga Oktober iaitu sebanyak 11 tan bernilai RM106,000,” katanya dalam sidang media serahan bekalan makanan produk itu di Zoo Negara pada Selasa.


Ronald berkata hasil rampasan itu dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli bagi projek rehabilitasi banduan di penjara serta sumber makanan haiwan di zoo dan pusat konservasi hidupan liar.


Katanya, antara jabatan dan agensi terlibat menerima sumbangan di bawah program MAFI Prihatin selain Zoo Negara ialah Penjara Marang di Terengganu, Penjara Penor di Kuantan, Pahang serta Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Machang di Kelantan.


Beliau berkata Zoo Negara menerima sumbangan terbanyak iaitu 2,000 kilogram.


Ronald berharap inisiatif berterusan itu dapat membantu meringankan beban pihak yang terlibat dalam menampung sumber bekalan makanan haiwan dan ternakan ikan di bawah seliaan mereka.


Turut hadir, Timbalannya Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah MAQIS Shamsul Akbar Sulaiman.

bottom of page