top of page
  • newsatmy

147 pemain pasukan 'gulung tikar' bakal terima RM1.88 juta dari FIFA

16 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Seramai 147 pemain daripada lima pasukan di negara ini yang 'gulung tikar' bakal menerima bantuan antara US$1,227.67 (kira-kira RM5,000) hingga US$9,227.67 (kira-kira RM38,000) daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dalam kenyataan semalam berkata, sejumlah US$456,214.48 (lebih kurang RM1.88 juta) diluluskan untuk pemain dari lima pasukan di Malaysia bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.


Beliau berkata jumlah itu merupakan 2.85 peratus daripada jumlah keseluruhan dana US$16 juta (RM66 juta) disediakan FIFA kepada pemain di seluruh dunia bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.


Menurut Stuart, FIFA menerusi program 'FIFA Fund for Football Players' (FIFA FFP) yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro), menerima permohonan daripada lebih 1,000 pemain seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara anggotanya.


Beliau berkata permohonan dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM, yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM dan termasuk juga kes yang telah diputuskan oleh FIFA.


"FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi. FAM berterima kasih kepada FIFA dan FIFPro kerana menerusi wang dana diberikan ini, ia telah membantu pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan-pasukan yang ditutup.


"Begitu juga kepada PFAM yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut," katanya.


Stuart bagaimanapun, menegaskan bahawa penerimaan dana berkenaan bukanlah bermaksud kes tunggakan gaji melibatkan pemain tersebut selesai kerana dana diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan perlu diselesaikan.


"Oleh itu, FAM menyeru pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan tersebut. Pada ketika ini, PFAM sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada FIFA dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi," katanya.


Beliau menjelaskan FIFA akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke akaun pemain yang terlibat dalam kadar segera sebaik menerima maklumat akaun bank pemain.


-- BERNAMA

bottom of page