top of page
  • zaman

15 resolusi Konvensyen PN 2022 untuk rakyat


KUALA LUMPUR,28 Ogos: Sebanyak 15 resolusi dihasilkan pada akhir Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 yang berlangsung sejak pagi hingga lewat petang Sabtu. Sebelum itu, 21 orang pembahas dari parti komponen PN, Badan Perhubungan Negeri, Jawatankuasa Wanita Pusat dan Jawatankuasa Pemuda Negeri menyampaikan pandangan masing-masing.


Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata PN memberi penghargaan kepada Pengerusi Tetap Konvensyen, Cikgu Hussin Ismail dan Datuk Suhaimi Abdullah yang mempengerusikan konvensyen dengan jayanya.


Menurutnya, ucapan tahniah dijuga diberikan kepada Jawatankuasa Resolusi Konvensyen yang dipengerusikan oleh Senator Datuk Dr Radzi Jidin serta Urusetia Konvensyen dan Petugas Sukarelawan, termasuk Unit Amal PAS yang memastikan kelancaran penganjuran konvensyen.


Katanya, PN dengan penuh kesungguhan dan iltizam ke arah mewujudkan kerajaan yang prihatin dan berintegriti serta Malaysia yang sejahtera, mendokong ucapan dasar Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan merumuskan resolusi seperti berikut:


1) Menjadikan prinsip Prihatin Rakyat, Berintegriti dan Bebas Rasuah sebagai landasan utama perjuangan PN.


2) Memperkukuh kesatuan antara parti anggota PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menjadikan PN sebagai parti pilihan rakyat.


3) Menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai bimbingan kerajaan dalam menjunjung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.


4) Memperkukuh hubungan persaudaraan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan terus menghormati Perjanjian Malaysia 1963 serta menyeimbangkan pembangunan negara secara holistik dan menyeluruh dengan mengoptimumkan potensi ekonomi dan sosial setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


5) Memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip Federalisme yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan.


6) Membangunkan ekonomi berimpak tinggi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara maju, makmur dan sejahtera.


7) Memperkasa masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan golongan, termasuk Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Orang Asal, warga emas, wanita, belia, kanak-kanak dan warga OKU.


8) Memelihara khazanah negara dan melindungi alam sekitar termasuk hutan, sumber mineral dan sungai daripada ancaman kerakusan bagi mengelakkan ketirisan hasil dan kejadian bencana.


9) Meningkatkan kecekapan tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan institusi-institusi Kerajaan tanpa campur tangan politik atau salah guna kuasa.


10) Menubuhkan agensi sehenti tunggal jaringan sosial rakyat bagi menyelaras pemberian bantuan kebajikan, penyediaan peluang kerjaya, peningkatan kemahiran, pembasmian kemiskinan yang menyeluruh serta pengukuhan kegiatan ekonomi sara diri, termasuk golongan anak muda dan wanita.


11) Meningkatkan ketersambungan infrastruktur dan infrastruktur digital ke seluruh pelusuk negara bagi memperkasa masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan.


12) Memajukan sektor pendidikan dengan digitalisasi, mengurangkan jurang pencapaian pendidikan bandar dan luar bandar, mempercepat penyediaan dan pembaikan infrastruktur serta memperkukuhkan ekosistem pendidikan, termasuk kurikulum bagi memperkasa kemenjadian murid.


13) Memperkasa peluang melanjutkan pelajaran dan TVET serta menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi bagi anak muda dan wanita serta menampilkan calon-calon boleh menang dalam kalangan wanita dan anak muda dengan kuota sekitar 30 peratus untuk PRU15.


14) Memastikan calon PN bersih, berintegriti dan bebas rasuah dengan mewajibkan mereka melepasi tapisan SPRM, PDRM dan LHDN serta mengisytihar harta dan tiada kes mahkamah seterusnya membuat aku janji untuk menolak jenayah rasuah dan salah guna kuasa


15) Mempersiap siaga seluruh jentera parti di setiap kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara untuk meraih kemenangan dalam PRU15 serta mematuhi segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional berhubung PRU15.

Hamzah berkata, PN meminta semua pihak untuk menilai 15 resolusi itu sebagai tawaran terbaik, jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat pada PRU15.

“Kepada akar umbi dan pimpinan Parti PN di seluruh negara, rapatkan saf, bulatkan tekad, bersedialah untuk berjuang berhabis habisan bagi memenangi hati rakyat,” katanya

bottom of page