• newsatmy

15 tahun bersama, Aamir Khan dan isteri umum perceraian

5 Julai 2021

Pelakon dan pengarah filem Bollywood terkenal, Aamir Khan dan isterinya, pengarah dan penerbit Kiran Rao, mengumumkan perceraian mereka selepas 15 tahun hidup bersama.

Dalam satu kenyataan bersama, pasangan itu memaklumkan mereka bagaimanapun akan terus membesarkan anak lelaki mereka, Azad dan menjalankan kolaborasi dalam filem selain mengetuai Yayasan Paani yang ditubuhkan bersama selain beberapa projek lain. "Kami sudah berpisah sejak beberapa bulan lalu dan berpendapat sekarang masa yang sesuai untuk memfailkan penceraian secara rasmi. "Kami akan memulakan babak baharu dalam kehidupan, bukan lagi sebagai suami dan isteri, tetapi sebagai ibu bapa dan keluarga," kata kenyataan itu lagi.

Khan, 56, yang mempunyai dua anak dari perkahwinan sebelumnya, adalah antara pelakon dengan pendapatan tertinggi di Bollywood. Di luar India, dia juga mempunyai jumlah peminat yang ramai di China, pasaran filem kedua terbesar di dunia.

Pasangan ini bertemu di lokasi penggambaran filem Lagaan pada tahun 2001 dan berkahwin pada 2005.

Pada tahun 2016, mereka mengasaskan Yayasan Paani, sebuah organisasi bukan kerajaan yang aktif dalam kawalan kemarau dan pengurusan aliran sungai di Maharashtra, India.

"Sepanjang 15 tahun yang indah ini, kami telah berkongsi pengalaman, kegembiraan dan tawa, dan ia telah memperkukuhkan kepercayaan, rasa hormat dan kasih sayang antara kami," tambah kenyataan itu lagi.