• Arissa Azman

188 keluarga di Kampung Pulau Tukang Dollah yang dikenakan PKPD dihulurkan bantuan

6 Julai 2021

PENGKALAN CHEPA: Sebanyak 188 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah di sini dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Keluarga terbabit dibantu dari segi pemberian barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak dan barangan makanan lain.


Barangan keperluan asas itu dihulurkan apabila berikutan penduduk hilang punca pendapatan selain pergerakan mereka mencari rezeki juga terbatas setelah penguatkuasaan PKPD.


Bantuan segera itu dihulurkan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) yang diketuai Presidennya, Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman.


Langkah membantu penduduk terbabit dilakukan setelah PKPD dikuatkuasakan di kampung berkenaan apabila 41 penduduk dikesan positif Covid-19.


Menurut Abdullah Sudin, penyerahan barangan keperluan asas itu disempurnkan oleh jentera HALUAN Cawangan Kelantan.


“Bantuan itu diserahkan kepada Penghulu kampung, Wan Zakaria Wan Hassan yang mewakili penduduk di pekarangan Masjid Ussisa Littaqwa,” katanya.


Di samping itu, beliau berkata, bantuan tidak seberapa itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk terbabit yang memang mengharapkan bantuan luar.


“HALUAN akan lihat bentuk-bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan kepada penduduk terbabit.


“Kita memahami keperluan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya



--PN Online