top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

1MDB: Pertimbang saranan Muhyiddin dengan serius

13 April 2022

Ekonomi Malaysia menunjukkan petanda positif ke arah pemulihan daripada Covid-19 apabila jumlah pelaburan langsung (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada tahun lalu meningkat 83.1 peratus berbanding pada 2020.


Pelaburan berjumlah RM306.5 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan itu tertinggi dalam sejarah menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.


Selain itu, pembelian saham oleh pelabur asing di Bursa Malaysia dalam 11 minggu pertama tahun ini berjumlah RM6.7 bilion menandakan kembalinya minat pelabur asing terhadap pasaran Malaysia.


Indeks FBMKLCI juga telah melepasi 1,600 mata yang menjadi petunjuk sentimen positif ke arah pemulihan ekonomi dan refleksi kepada peralihan fasa endemik.


Kepercayaan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia turut didorong oleh kestabilan politik negara yang telah dilakukan melalui MoU yang ditandatangani oleh Kerajaan dan pembangkang.


Kerjasama itu menjadi elemen penting sokongan parti politik untuk mengetepikan buat sementara waktu agenda politik demi membawa Malaysia keluar daripada permasalahan ekonomi dan kesihatan.


Keyakinan pelabur luar juga didorong oleh imej kerajaan ketika ini yang menampilkan kepimpinan bebas daripada masalah berkaitan integriti apabila mana-mana pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet.


Bagi menambahkan lagi keyakinan pihak luar dan mengembalikan imej negara yang pernah terpalit dengan skandal paling mengejutkan dunia iaitu berkaitan 1MDB, maka saranan bekas Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yassin perlu diberi perhatian dengan serius.


Muhyiddin pada Sabtu menggesa perbicaraan berkaitan skandal 1MDB di Malaysia disegerakan susulan keputusan mahkamah Amerika Syarikat yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.


Gesaan Muhyiddin amat berasas sekali kerana negara luar dengan pantas bertindak untuk menyelesaikan kes itu dan mahkamah di Malaysia seharusnya tidak melayan sebarang usaha bagi menangguhkan prosiding kes tersebut.


Skandal membabitkan 1MDB adalah isu yang amat besar sekali dan rakyat ingin tahu pengakhiran yang sebenarnya kerana apa yang diketahui setakat ini, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.


Selain merupakan Perdana Menteri pada masa kesalahan itu didakwa dilakukan, Najib juga merupakan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.


Seperti juga rakyat Malaysia yang lain yang bencikan rasuah dan salah guna kuasa, amat geram, marah dan kecewa apabila membaca pelbagai pendedahan membabitkan 1MDB ketika prosiding dilakukan di Amerika Syarikat.


Sepertimana yang dilaporkan oleh media seluruh dunia, Peguam Breon Peace dalam siaran langsung dari pejabat peguam di New York berkata, Roger Ng dan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai satu entiti yang boleh membantu rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk memperkayakan diri dengan wang yang disalah guna daripada dana itu.


Jelas Peace, antara 2012 dan 2013, Roger Ng menerima lebih daripada AS$35 juta dolar dalam bentuk sogokan untuk menjalankan peranannya mencuri dan mencuci berbilion dolar daripada 1MDB.


Ia termasuk dana 1MDB yang dikumpul pada 2012 dan 2013 melalui tiga transaksi bon dan ia digunakan bagi wang untuk merasuah.


Tambah Peace lagi, skandal itu sangat besar skalanya dan Roger Ng dan konspirator bersamanya menggelapkan berbilion dolar daripada dana itu.


Peguam AS itu mengatakan ia adalah perlakuan yang melampau apabila Roger Ng memperoleh perniagaan melalui cara salah yang menguntungkan majikannya dengan merasuah pegawai- pegawai kerajaan di Malaysia dan di Abu Dhabi.


Oleh itu, berdasarkan apa yang dinyatakan berkaitan 1MDB, maka pelaku yang bertanggungjawab di Malaysia harus segera dihukum dan tidak boleh dibiarkan bebas tanpa rasa bersalah.

bottom of page