2 beranak di Johor tinggal di rumah berlantaikan tanah hampir setahun
3 Mac 2021
BATU PAHAT - Dua beranak terpaksa duduk di sebuah rumah yang berlantaikan tanah lebih enam bulan kerana tidak mampu mengupah tukang rumah untuk membina kediaman mereka disebabkan oleh pendapatan yang tidak menentu.
Malah Encik Abd Aziz Ahmad, 69, bersama anaknya Alif Haikal, 17, terpaksa membawa bahan binaan sedikit demi sedikit dengan menggunakan kereta sorong sejauh 800 meter dari simpang masuk ke rumahnya yang hanya boleh dilalui motosikal sejak Ogos tahun lalu.
Warga emas itu yang bekerja mengambil upah memotong kelapa sawit berkata pendapatannya yang tidak menentu telah memaksa beliau dan anaknya membina rumah sendiri di tanah warisan keluarga selepas berpindah keluar dari rumah mentua berikutan kematian isterinya.
“Setiap bulan, saya akan membeli antara 50 hingga 100 biji batu blok dan sekampit simen untuk membina rumah dengan anggaran kos RM200 (S$66).
“Begitu juga dengan bumbung rumah yang pada mulanya saya menggunakan bumbung terpakai, asalkan kami dua beranak dapat berteduh daripada hujan dan juga panas,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja pada Isnin (1 Mac).
Menurut Encik Abd Aziz, rumah yang sudah dipasang bumbung dan dinding namun masih berlantaikan tanah itu dijangka siap menjelang akhir bulan ini.
Sementara itu, ADUN Parit Raja Nor Rashidah Ramli berkata pihaknya sudah menghulurkan bantuan agar Abd Aziz dan anaknya dapat ‘duduk’ di rumah baru mereka itu dengan sempurna menjelang Aidilfitri nanti.
“Pihak ADUN memberikan sumbangan sekitar RM6,000 (S$2,000) berbentuk barangan serta peralatan untuk membuat rumah, juga membina jalan masuk baru untuk keluarga berkenaan. Selain itu, kita sedang berusaha (membantu aspek utiliti) memandangkan kediaman ini masih belum mempunyai bekalan elektrik dan air," katanya.
Ahli Pemuda UMNO bergotong-royong bersama penduduk setempat untuk menyiapkan rumah berkenaan selain turut memberikan sumbangan kepada dua beranak itu.
ความคิดเห็น