top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

200kg cili bara projek komuniti lorong Wong Ah Jang

15 NOVEMBER 2021

KUANTAN: Sebanyak 200 kilogram (kg) cili segar dijangka dapat dituai pada pengeluaran pertama projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini.


Projek mula diusahakan Julai lalu dibangunkan oleh Dapur Infaq Ummah Kuantan yang disertai lima individu dan kini mula mengeluarkan hasil dengan pengeluaran antara 10 hingga 15 kilogram sehari.


Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin, berkata projek perintis itu membabitkan kira-kira 2,000 polibag pokok cili bara yang mengeluarkan hasil selepas enam bulan ditanam.


Menurutnya, semua hasil yang dituai kini dijual terus kepada seorang usahawan tempatan yang terbabit menghasilkan produk berasakan cili, harga borong kini RM10 sekilogram.


“Saya berpuas hati pencapaian projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang yang membuktikan kesungguhan berakhir dengan kejayaan membanggakan.


Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin (kiri) bersama hasil cili bara projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang


“Kita akan menambah lebih 2,500 polibag pada pusingan kedua penanaman tahun depan, sistem tanaman sepanjang tahun akan digunakan bagi memastikan pengeluaran hasil berlaku sepanjang tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyertai acara mengutip hasil pertama projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang, di sini semalam.


Badrul Jamili berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang sebagai produk agro pelancong yang memberi peluang kepada pelancong datang melihat projek berkenaan sambil memungut hasil.


Katanya, pihaknya juga akan menambah jumlah peserta daripada lima kepada 10 individu pada pusingan kedua projek berkenaan.


“Sokongan padu beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yayasan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) turut membantu melaksanakan projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang.


“Projek tanaman cili fertigasi komuniti lorong Wong Ah Jang dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berharap program berkenaan dapat memberi sinar baharu kepada golongan yang sebelum ini terbabit pelbagai kesalahan,” katanya.

bottom of page