25 tahun Spice Girls: Ini fakta yang mungkin anda tidak tahu
11 Julai 2021
Sebelum wujudnya kegilaan terhadap Blackpink, TWICE, Girl's Generation atau 2NE1, sebuah kumpulan wanita dari Barat terlebih dahulu mencipta fenomena di seluruh dunia.
Spice Girls!
Siapa tidak kenal atau sekurang-kurangnya pernah mendengar tentang mereka?
Lagu-lagu seperti Wannabe, Viva Forever, Mama dan Stop antara yang masih menjadi siulan sehingga ke hari ini.
Sempena ulang tahun ke-25 Spice Girls, jom baca beberapa fakta tentang kumpulan ini:
1. Ditubuhkan pada 1994, namun single pertama mereka, Wannabe, hanya diterbitkan pada tahun 1996.
2. Keseluruhannya, Spice Girls merekod jualan album lebih 80 juta unit di seluruh dunia, menjadikan mereka kumpulan wanita paling berjaya setakat ini. Malah mereka juga digelar ikon pop Britain paling dikenali selepas The Beatles.
3. Nama asal Spice Girls adalah Touch, namun ia ditukar sebelum album debut mereka diterbitkan.
4. Emma Bunton (Baby Spice) bukan anggota asal kumpulan ini. Dia diambil menggantikan anggota asal, Michelle Stephenson yang terpaksa meninggalkan kumpulan itu untuk menjaga ibunya yang sakit.
Fenomena Spice Girls bukan calang-calang di era 90an.
5. Selain Emma, Spice Girls turut dianggotai Melanie Chisolm, Melanie Brown, Geri Halliwell dan Victoria Adams (kini Victoria Beckham).
6. Hit pertama mereka yang berjaya menempatkan diri sebagai juara carta di 37 buah negara, Wannabe, ditulis dalam masa hanya 10 minit.
7. Dalam satu temu ramah pada 2018, Victoria mengakui mikrofonnya sering dimatikan semasa persembahan secara langsung, namun tidak menjelaskan punca sebenar.
8. Nama gelaran mereka (Baby Spice, Scary Spice, Sporty Spice, Ginger Spice dan Posh Spice) diberikan oleh majalah Britain, Top of the Pops, pada 1997 dan ia kekal sehingga hari ini.
Comments