top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

3,000 peluang pekerjaan bakal dijana

29 Jun 2021

Pada hari Khamis lepas, 24 Jun 2021, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Encik Arham Abdul telah mengadakan pertemuan secara maya dengan Pengerusi dan Presiden syarikat Risen Energy Co. Ltd dari China , Mr. Xie Jian.


Syarikat ini adalah pakar dalam aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan “solar cells” dan “solar modules”, juga merupakan syarikat pengeluar kelima terbesar dunia dalam menghasilkan “solar module”.


Susulan dari itu, melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd yang telah diluluskan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), pihak Risen bersetuju untuk membuat pelaburan sebesar RM42.2 bilion di Malaysia.


"Alhamdulillah, berita baik buat rakyat adalah, sebanyak 3,000 PELUANG PEKERJAAN akan dijana bagi projek selama lima tahun ini (2021-2025)," kata Azmin Ali.


Bukan itu sahaja, Presidennya juga memaklumkan akan bekerjasama dengan universiti atau institusi tempatan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain menyediakan peluang latihan kepada para pelajar.


Sikap keterbukaan dan mesra pelaburan yang kerajaan perkenalkan membuatkan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur di rantau ini meskipun ekosistem ekonomi agak terganggu berikutan pandemik COVID-19.


"Seperti yang saya tegaskan di pos saya yang lalu, kita sentiasa mengalu-alukan kemasukan PELABURAN BAHARU DAN BERKUALITI dengan pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA),


"Justeru, saya yakin galakan dan persediaan tenaga mahir di negara kita mampu menjadikan Malaysia kekal berdaya saing di seluruh dunia," tambah beliau lagi.




--PN Online

bottom of page