top of page
  • newsatmy

32 pasukan berentap futsal MPFL FAM

4 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sebanyak 32 pasukan daripada persatuan bola sepak negeri dan kelab akan beraksi pada Liga Primier Futsal Malaysia (MPFL) 2021.


Daripada jumlah itu, 20 pasukan bersaing dalam kategori lelaki yang dijadual bermula 12 Jun hingga 28 Ogos, manakala baki 12 pasukan akan memeriahkan saingan kategori wanita dari 12 hingga 22 Ogos.


Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata badan induk itu telah menjalankan saringan dokumen terperinci sebelum meluluskan permohonan 32 pasukan untuk beraksi.


"Menerusi proses saringan ini FAM berpeluang untuk memperkenalkan struktur sukan futsal dan juga mendidik pasukan-pasukan ini mengenai pengurusan dan pentadbiran pasukan futsal di peringkat kebangsaan," katanya yang juga Naib Presiden FAM dalam kenyataan semalam.


Pada majlis undian MPFL 2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, FAM turut mengumumkan Cuckoo sebagai penaja utama MPFL 2021, selain beberapa penaja sedia ada yang meneruskan kerjasama musim ini.


Taklimat pasukan MPFL dijalankan pada 27 April lalu secara dalam talian, dan sesi tersebut membincangkan tentang garis panduan serta maklumat berkaitan pengadilan, peraturan serta protokol operasi pertandingan dan lain-lain perkara.


Dalam pada itu, saingan kategori lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A terdiri daripada Terengganu, Perak, KPT-PST Mustangs, Sarawak, ATM, Shah Alam City, Kelantan United, Negeri Sembilan, Selangor TOT United dan Kedah.


Pahang Rangers FC, Selangor MAC, Sabah, Sarawak United, Kelantan FC, KL City FC, Kuala Lumpur, Melaka, PDRM FC dan Pulau Pinang pula bakal bersaing dalam Kumpulan B.


Sementara bagi kategori wanita, pasukan Perak SSCJ, Kuala Lumpur Prefer FC, PDRM FC, Sarawak, Selangor MBPJ FC dan Pahang Rangers FC dikumpulkan dalam Kumpulan A.


Sementara, Kumpulan B menyaksikan penyertaan pasukan Sabah, Selangor MBSJ FC, Melaka, FC Langkawi, Kuala Lumpur dan KPTM Bangi.


Selepas diperkenalkan pada 2019, edisi kedua MPFL tahun lalu ditangguhkan sebelum dibatalkan ekoran pandemik COVID-19.


- BERNAMA



bottom of page