top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

5 juta meter padu air berjaya dilencongkan SMART Tunnel, jasa Tun M bina terowong dipuji

21 Disember 2021

Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Banjir atau disebut SMART Tunnel (akronim bagi Stormwater Management and Road Tunnel) ini merupakan sebuah terowong lencongan air yang digunakan untuk mengelakan banjir di kawasan padat seperti Kuala Lumpur.


Menurut Astro AWANI, SMART Tunnel ini telah berjaya melencongkan sebanyak 5 juta meter padu air banjir daripada memasuki Kuala Lumpur semalam.


Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, lencongan air banjir ini mula diaktifkan pada 7.45 malam Sabtu lepas.


“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengaktifkan lencongan banjir dalam usaha mengurangkan impak kejadian banjir.


“Lencongan SMART telah mula diaktifkan sehingga mod 4 pada jam 7.45 malam 18 Disember 2021 sehingga jam 12.00 tengah hari ini, lencongan telah diturunkan kepada mod 1 dengan sebanyak 5 juta meter padu air berjaya dilencongkan sejak semalam,” jelasnya.


Kalau tak dilencongkan air, KL bakal tenggelam


Sejak dibuka pada tahun 2007, ini merupakan kali pertama proses lencongan mengambil masa lebih daripada 3 jam.


“Ini merupakan satu rekod yang baru bagi Pusat Kawalan SMART JPS kerana selama lapan kali operasi mod 4 sebelum ini sejak 2007, setiap peristiwa hanya merekodkan kurang dari 3 jam operasi lencongan.


“Namun pada operasi mod 4 kali ini, operasi lencongan telah berlangsung selama 22 jam,” katanya.


Jelasnya lagi, jika 5 juta meter air padu itu tak dilencongkan, keadaan banjir yang melanda Lembah Klang akan bertambah buruk.


"Air sungai Klang akan masuk ke Kuala Lumpur bercantum di Masjid Jamek (jika kita tidak lencongkan), kita dah keluarkan 5 juta meter padu, dalam keadaan itu pun air masih berada di paras bawah jambatan,


“Bayangkan kalau ada lagi 5 juta meter padu jika tidak dilencongkan, kalau ikut pengiraan memang Kuala Lumpur akan tenggelam,” jelasnya.


“Terima kasih Tun M atas cetusan idea SMART Tunnel”


Berita mengenai SMART Tunnel ini telah mendapat perhatian rakyat yang mana rata-rata mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas cetusan ideanya untuk membina terowong tersebut.


Menurut mereka, Tun M merupakan pemimpin yang berfikiran jauh ke hadapan dan sepatutnya terowong seperti perlu lebih banyak dibina daripada bangunan pencakar langit.


Projek pembinaan Terowong SMART yang dicetus Tun M ini merupakan projek di bawah Dasar Pembangunan Nasional yang dilancarkan PM ini pada tahun 1991.


Mula dibina pada tahun 2003 dan dibuka untuk kegunaan awam pada 2007, ia merupakan terowong lencongan air terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.


Objektif utama terowong ini juga ialah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di KL dan mengurangkan kesesakan trafik sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew, Pudu semasa waktu puncak.

bottom of page