top of page
  • newsatmy

50,000 dijangka ke Kedah sempena Muktamar PAS


KUALA LUMPUR,24 Ogos: Seramai 50,000 pengunjung dijangka memasuki Kedah sempena Muktamar PAS ke-68 yang akan berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.


Daripada jumlah itu, seramai 30,000 peserta dijangka hadir berikutan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Pusat yang turut dijadualkan berlangsung semasa Muktamar PAS tahun ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Datuk Ahmad Yahaya berkata, berdasarkan maklum balas diterima pihaknya, kebanyakan hotel dan inap desa di sekitar Kompleks PAS Kedah penuh sepanjang tarikh muktamar bersidang.

“Kita mendapat maklumat daripada hotel, pengusaha homestay (inap desa), boleh dikatakan sekitar Alor Setar, Gurun dan Sungai Petani yang berdekatan Kompleks PAS Kedah semua habis ditempah.

“Justeru, kita menganggarkan satu kehadiran yang besar, lebih-lebih lagi apabila semasa Muktamar diadakan, akan berlangsung juga Pelancaran Jentera Pilihan Raya Peringkat Pusat, yang dianggarkan kehadiran peserta tidak kurang daripada 30,000.

“Jadi pada kami tuan rumah di Kedah, kita menganggarkan kehadiran untuk masuk ke Kedah sempena Muktamar PAS akan menjangkau lebih 50,000 orang yang akan masuk Kedah sempena muktamar,” katanya.


Menurut Ahmad, persiapan menuju Muktamar PAS ke-68 kini sedang berjalan lancar dan Kompleks PAS Kedah kini bersedia untuk menerima perwakilan, pimpinan PAS dan tetamu.

Konvensyen As-Sabiqun, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) akan berlangsung pada 31 Ogos, manakala Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, dan Dewan Muslimat PAS Malaysia berlangsung pada 1 dan 2 September.


Sementara itu, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 akan berlangsung pada 3 dan 4 September bersama Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Pusat.

bottom of page