top of page
  • newsatmy

6 bulan bagi Choong Hann, Hendrawan cari perseorangan lelaki kedua, ketiga


KUALA LUMPUR,14 Ogos: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi masa enam bulan kepada barisan kejurulatihan badminton negara untuk mencari pemain badminton perseorangan lelaki kedua dan ketiga di bawah persatuan itu.


Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata BAM menyerahkan perkara itu kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Wong Choong Hann dan jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan untuk mengenal pasti pemain berkenaan.


"Seperti yang kita tahu, kami (BAM) ada Ng Tze Yong, jadi soalan saya kepada Choong Hann dan Hendrawan yang nombor dua dan nombor tiga? Mereka (jurulatih) perlu mengesan mereka dengan pantas. Kami beri mereka enam bulan, termasuk perseorangan wanita. "Tapi akhirnya, terpulang kepada jurulatih dan jabatan teknikal untuk melakukan apa sahaja yang perlu," katanya pada sidang media BAM di Akademi Badminton Malaysia di sini semalam.


Mohamad Norza berkata BAM juga telah meluluskan permohonan Pengarah Prestasi Tinggi BAM Dr Tim Jones untuk membawa masuk lebih banyak penggunaan metodologi sains dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain elit pada masa depan.


Sementara itu, Choong Hann berkata pihaknya akan berusaha melahirkan individu yang mampu berada di kelompok pemain elit.

"Kita tengah menilai pemain dalaman, jadi siapa yang lebih menonjol kami akan meneliti mereka dengan lebih terperinci lagi, bukan sasar satu atau dua orang, tetapi lebih kepada keseluruhan termasuk Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao dan Lim Chong Kin.

"Harap antara mereka dapat tambah baik dan jadi lebih berwibawa dan mampu membawa diri dalam kem-kem pertandingan yang kita atur untuk mereka," katanya.

Terdahulu, BAM memberikan insentif keseluruhan berjumlah RM245,000 kepada skuad badminton negara yang meraih pingat di Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi menghargai para atlet berkenaan.


Skuad badminton negara yang meraih emas dalam acara berpasukan campuran di Birmingham menerima jumlah insentif terbesar iaitu RM140,000 selain beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah meraih RM50,000 dan Tze Yong yang meraih perak menerima RM10,000.

-- BERNAMA

bottom of page