top of page
  • zaman

65 TAHUN MERDEKA – SAMPAH MASIH BUANG MERATA?


Syukur ke hadrat Tuhan apabila kita masih boleh mengecap kemerdekaan negara seusia 65 tahun lamanya.


Pandemik yang melanda negara 2 tahun lalu menyebabkan erti kemerdekaan hanya dirasai di dalam sudut rumah masing-masing tanpa dizahirkan dengan keraian bunga api menjelang 12 tengah malam, kawad merdeka, persembahan pancaragam seperti tahun-tahun sebelumnya.


Berbeza pada tahun ini, orang ramai berpeluang meraikan kemerdekaan dan menyambutnya dengan penuh kemeriahan di ibu kota atau negeri masing-masing. Namun saban tahun, isu ‘selepas sambutan kemerdekaan’ tidak pernah reda atau susut melibatkan pembuangan sisa sampah yang ditinggalkan di tengah jalan mahupun di dalam longkang.


Pekerja pembersihan seolah-olah tahu bahawa mereka perlu berkerja lebih masa selepas 31 Ogos saban tahun apabila orang ramai yang pada mulanya membanjiri dataran bersorak menyahut ‘Merdeka’ telah beransur pulang meninggalkan sisa sampah untuk dikutip oleh orang lain.


Adakah intisari ‘Merdeka’ itu hanya pada sorakannya dan bukan maknanya? Sejauh mana kita menyelusuri adab sebuah bangsa yang merdeka sedangkan sisa sendiri pun tidak kita peduli di mana patut diletakkan. Anak kecil yang kita bawa bersama meraikan detik ulangtahun kemerdekaan itu bukan sahaja mendengar laung teriak kita tapi mereka juga memerhati tingkah fiil kita dalam membawa erti merdeka untuk ditumpahkan ke dalam jati diri mereka.


Sehingga bila kita perlukan waktu untuk mengubah cara hidup kita. Buka mata dan lihatlah cara pekerja pembersihan melakukan kerja. Mereka perlu bergelut dengan kotoran kering dan basah saban hari untuk memastikan bandar yang kita diami selesa dan selamat. Malah beban kerja bertambah pula setiap tahun menjelang sambutan merdeka untuk mengutip sisa yang dibuang orang ramai semasa menyambut ambang merdeka atau selepas perarakan kemerdekaan.


Pekerja pembersihan perlu bersengkang mata demi mengekalkan kebersihan jalan dan longkang dari segala sisa buangan serta sampah sarap serta berdepan dengan pelbagai risiko bahaya termasuk kotoran yang membawa kuman. Mereka juga tidak terkecuali dari mengalami kecederaan melibatkan pembuangan sisa tajam serta risiko kemalangan.

Jika kita tidak mampu melakukakan tugas seperti mereka, maka mudahkanlah kerja mereka dan kurangkanlah beban mereka dengan bertanggungjawab atas sampah sendiri.

Kita kan bangsa Merdeka.

bottom of page