top of page
  • admin

Siasatan SPRM atas kes Zahid beri gambaran buruk pada peguam negara


BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman menyifatkan siasatan lanjut yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes jenayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan gambaran buruk pada peguam negara semasa, Tan Sri Idrus Harun.


Abu Talib berkata, pihak pendakwaan telah pun membuktikan kesnya terhadap Zahid tahun lepas selepas Presiden UMNO itu diperintahkan membela diri atas semua tuduhan yang dihadapinya.


“Kes prima facie wujud kerana pihak pendakwaan telah membuktikan unsur dalam semua tuduhan.


“Apa lagi yang perlu disiasat lebih lanjut? Melainkan ada sebab lain yang hanya boleh menjadi spekulasi. Pada pandangan saya, ini memberikan gambaran buruk pada peguam negara semasa,” katanya.


Abu Talib, yang menjadi peguam negara dari 1980 hingga 1993 berkata, demikian selepas perbicaraan Zahid ditangguhkan berikutan representasi yang dibuat oleh pihak pembelaan awal tahun ini.


Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memaklumkan hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah semalam bahawa representasi itu hanya boleh disemak oleh peguam negara selepas SPRM menyelesaikan siasatan.


Peguam Zahid telah menghantar dua set representasi kepada pihak pendakwaan untuk pertimbangan; yang pertama pada Januari, diikuti satu lagi pada Februari.


Malik berkata, representasi itu setebal kira-kira 200 muka surat dan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menelitinya kerana ia membangkitkan isu yang rumit.


Sequerah membenarkan perbicaraan ditangguhkan selepas Malik berkata beliau diarahkan oleh Idrus supaya tidak membantah permintaan itu.


Abu Talib berkata, unsur representasi bukanlah alasan yang baik untuk menangguhkan kes kerana keadilan dalam perbicaraan jenayah adalah untuk kedua-dua tertuduh dan orang awam.


“Menurut Perlembagaan Persekutuan, peguam negara mempunyai budi bicara mutlak untuk menarik balik kes itu, (jika gagal) beliau harus meneruskan (perbicaraan) kerana semua keterangan telah dikemukakan di mahkamah apabila pembelaan dipanggil,” katanya.


Beliau juga berkata, pentadbiran keadilan sewajarnya tidak harus dihalang oleh penangguhan.


Sementara itu, peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, Zahid hanya perlu menyanggah dan menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan untuk mendapatkan pembebasan.


“Sebarang siasatan lanjut oleh SPRM selepas pembelaan dipanggil tidak bermakna,” katanya, lapor FMT.


Tambahnya, Idrus, sebagai penjaga kepentingan awam, mesti bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih apabila menjalankan tugasnya.


Perbicaraan ditetapkan sementara untuk disambung semula pada 1 hingga 3 Ogos, 7 hingga 10 Ogos, dan antara 21 dan 24 Ogos.


Pendengaran lanjut juga ditetapkan pada September hingga Disember.

Pada 2 November tahun lepas, hakim menangguhkan kes kepada 16 Januari sementara menunggu keputusan rayuan Zahid kepada Mahkamah Rayuan berhubung permohonannya mendapatkan keterangan saksi yang dirakam oleh SPRM.


Bagaimanapun, Zahid tidak meneruskan rayuan itu.

Tidak dimaklumkan di mahkamah terbuka mengapa perbicaraan yang dijadualkan pada 16 Januari itu ditangguhkan.


Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi setakat ini.


Zahid didakwa atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.


Dua belas daripada tuduhan itu berkait pecah amanah, manakala lapan untuk rasuah dan baki 27 lagi membabitkan pengubahan wang haram.

bottom of page