top of page
  • newsatmy

Aaron-Wooi Yik berdepan tugas berat di suku akhir Masters Indonesia

19 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan tugas berat apabila menentang pasangan di ranking ketiga dunia dari Taiwan Lee Yang-Wang Chai-Lin pada saingan suku akhir kejohanan badminton Masters Indonesia hari ini.


Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu memerlukan 21 minit untuk mengenepikan gandingan tuan rumah Panjer Aji Siloka Dadiara-Bryan Sidney Elohim 21-12, 21-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali semalam.


Untuk rekod, pasangan negara yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan tidak pernah menang dalam tiga pertembungan dengan gandingan Lee-Wang yang mengecewakan rakan senegara mereka Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-13, 21-16 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.


Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut mara ke suku akhir selepas menyingkirkan pasangan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-18, 22-20 untuk berdepan gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang turut mengalahkan pemain tuan rumah Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-17, 21-12.


Sementara itu, beregu wanita negara Pealy Tan-M Thinaah menang mudah 21-8, 21-14 ke atas pasangan Indonesia Fitriani Fitriani-Yulia Yosephine Susanto untuk mengesahkan tempat di suku akhir.


"Kami bermain lebih baik berbanding semalam, kami banyak melakukan kesilapan mudah. Tapi kami saling mengingat satu sama lain supaya fokus kepada setiap mata," kata Pearly.


Tugas berat menanti pasangan di ranking ke-18 dunia itu apabila bakal berdepan pasangan Jepun yang menduduki ranking kesembilan dunia Nami Matsuyama-Chiharu Shida.


Dalam kategori beregu campuran pula, pasangan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengalahkan pasangan Jerman Jones Ralfy Jansen-Linda Efler 21-14, 21-19 untuk berdepan ujian getir menentang pasangan nombor dua dunia dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, hari ini.


"Perlawanan hari ini tidak mudah kerana kita pemain bukan pilihan dan tiada tekanan, kami akan bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan. Kami belajar perlawanan demi perlawanan sejak di Eropah, kami berharap akan lebih matang dalam perlawanan seterusnya," kata Pang Ron sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat atas kiriman bunga, makanan ringan dan t-shirt.


Pang Ron-Yee See satu-satunya pasangan beregu campuran yang meneruskan cabaran negara di Masters Indonesia selepas Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-15, 7-21, 20-22 manakala Cheng Tang Jie-Peck Yen Wei pula tunduk kepada Dechapol-Sapsiree 17-21, 21-16, 17-21.

bottom of page