top of page
Writer's pictureArissa Azman

Abah dihadiahkan tanjak tanda sokongan

17 NOVEMBER 2021

MASJID TANAH: Kehadiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersarapan dengan penduduk Taman Seri Aman, di sini hari ini, disambut dengan hadiah tanjak oleh usahawan, Abdul Ghaffar Abdul Ghani, 66.


Sejurus Muhyiddin keluar dari kenderaan, Abdul Ghaffar melaungkan slogan ‘Hidup Perikatan Nasional’ sebelum menghadiahkan tanjak songket kepada Muhyiddin.


Sambil memasangkan tanjak pada kepala Muhyiddin yang lebih mesra dengan panggilan ‘Abah,’ Abdul Ghaffar dan rakannya, Saidi Mukhri, 66, mengalu-alukan kehadiran Muhyiddin.


Abdul Ghaffar Abdul Ghani (kanan) dan Saidi Mukhri bersemangat untuk menjatuhkan kerajaan korup dan mencuri pasir laut.


“Insya-Allah kami akan terus bersama-sama Perikatan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan yang korup dan mencuri pasir laut.


“Kami akan membantu memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional, Tan Sri jangan bimbang, itu janji kami,” katanya.


Ditemui selepas itu, Abdul Ghaffar berkata, beliau mewakili sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin terhadap kerajaan yang mentadbir dengan bijaksana, adil dan saksama.


“Kami amat benci pemimpin yang rasuah, menyeleweng dan mengaut keuntungan untuk tembolok sendiri,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berjanji memastikan anggota NGO berkenaan memberikan sokongan kepada calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Dr Nordina Abdul Latif pada hari mengundi Sabtu ini.

Comments


bottom of page