• Hanna

ACL: JDT bukan cakap besar, Mora tanam mentaliti kemenangan

4 Julai 2021

Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sekadar penumpang dan sentiasa mempunyai impian besar dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL).


Namun, dalam kempen ketiga mereka - menarik diri tahun lalu atas faktor COVID-19 - Benjamin Mora percaya mereka akan terus berkembang seiring pengalaman yang dikutip.


Juara rentetan tujuh Liga Super itu menduduki tangga ketiga Kumpulan G dalam kempen di Thailand berkenaan yang menyaksikan mereka menang sekali ke atas Ratchaburi Mitr Phol tetapi tewas dua kali kepada wakil Korea Selatan, Pohang Steelers, dan sekali kepada kelab Jepun, Nagoya Grampus.


Peneraju kancah tempatan itu akan berdepan Nagoya malam ini malah berdepan penyingkiran awal.


Bagaimanapun, ketua jurulatih kelahiran Mexico itu menafikan Harimau Selatan sering bercakap besar, sebaliknya ia mencerminkan mentaliti kemenangan yang diterapkan.


"Inilah jangkaan saya terhadap pemain (untuk menang).


"Bayangkan kalau saya tidak tanamkan pemikiran ini dengan (menyatakan) kami tidak mampu menang, tidak dapat beraksi dengan baik.


"Sudah tentu saya mahu fikir dan jangkakan akan menang," katanya dalam sidang akhbar menjelang pertembungan dengan pendahulu kumpulan itu di Stadium Rajamangala.


Sehubungan itu, Mora mengakui JDT masih 'bertatih' di pentas tertinggi Asia berkenaan sambil menggesa barisan pemainnya supaya berusaha keras untuk memberikan saingan sengit termasuk dalam sisa kempen bertemu Ratchaburi, Rabu depan.


"(Kempen) ini sukar kerana kami adalah pasukan dari Malaysia, sebuah kelab kerdil yang berusaha untuk berkembang dengan secepat mungkin.


"(Tahap) kelab Korea (Selatan) dan Jepun begitu tinggi dan pengalaman pemain mereka juga membezakan (kami)," katanya lagi.