• Arissa Azman

ACL: Juara Jepun, juara lapan kali Liga China cabaran JDT

18 Januari 2022

KUALA LUMPUR: Juara Liga Jepun Kawasaki Frontale antara 'tembok' halangan yang perlu ditempuh penyandang juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) pada kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2022.


Dalam undian yang berlangsung Isnin, kedua-dua pasukan itu diundi dalam Kumpulan I bersama juara lapan kali Liga China Guangzhou FC dan pemenang perlawanan 'play-off' antara wakil Korea Selatan Ulsan Hyundai dan Port FC dari Thailand.


Ia merupakan penampilan keempat skuad Harimau Selatan dalam kancah ACL, yang juga kejohanan peringkat kelab paling berprestij di Asia sejak pertama kali beraksi pada 2019.

Musim lepas menyaksikan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Benjamin Mora itu menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan G di belakang Nagoya Grampus dari Jepun dan naib juara Pohang Steelers dari Korea Selatan.


Sementara itu, juara bertahan Al-Hilal SFC dari Arab Saudi diundi dalam Kumpulan A bersama juara Liga Tajikistan FC Istiklol, wakil Qatar Al Rayyan dan pemenang aksi 'play-off' antara wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sharjah FC dan pasukan Iraq Al Zawraa.


Dalam pada itu, empat pasukan yang bakal mencipta sejarah membuat penampilan sulung pada kejohanan itu adalah Al Faisaly dari Arab Saudi, Mumbai City FC (India), Ahal FC (Turkmenistan) dan Melbourne City (Australia).


Dalam perkembangan berasingan, juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur (KL) City FC dan naib juara Liga Super musim lepas Kedah Darul Aman (KDA) FC, masing-masing diundi dalam Kumpulan H dan G saingan Piala AFC 2022.


Skuad The City Boys di bawah bimbingan pengendali Bojan Hodak akan menerima tentangan Tampines Rovers dari Singapura, wakil Indonesia PSM Makassar dan pemenang perlawanan 'play-off' antara dua kelab Myanmar Shan United dan Ayeyawady United.


Sementara Bali United dari Indonesia, wakil Filipina Kaya FC Iloilo dan pemenang 'play-off' antara wakil Kemboja dan Laos menjadi pasukan yang bakal bersaing bersama KDA FC dalam saingan kumpulan untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati.


Berikut adalah keputusan undian Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC 2022:


Liga Juara-Juara AFC

-----------------------------


ZON BARAT:

Kumpulan A: Al-Hilal SFC (KSA), FC Istiklol (TJK), Al Rayyan (QAT) dan pemenang play-off tiga (UAE/IRQ).


Kumpulan B: Al Jazira (UAE), Al Shabab (KSA), Mumbai City (IND) dan Air Force Club (IRQ).


Kumpulan C: Foolad Khouzestan FC (IRN), Shabab Al Ahli Dubai (UAE), Ahal FC (TKM) dan Al Gharafa (QAT).


Kumpulan D: Al Duhail FC (QAT), Sepahan FC (IRN), Pakhtakor (UZB), pemenang play-off satu (KSA/SYR).


Kumpulan E: Al Sadd FC (QAT), Al Faisaly FC (KSA), Al Wehdat (JOR) dan pemenang play-off dua (UAE/UZB).


ZON TIMUR:

Kumpulan F: Shandong Taishan FC (CHN), Urawa Red Diamonds (JPN), Lion City Sailors (SIN) dan pemenang play-off empat (KOR/THA).


Kumpulan G: BG Pathum (THA), Jeonnam Dragons (KOR), United City FC (PHI), Melbourne City FC (AUS).


Kumpulan H: Jeonbuk Hyundai Motors (KOR), Yokohama F. Marinos (JPN), Hoang Anh Gia Lai (VIE) dan pemenang play-off satu (CHN/AUS/PHI).


Kumpulan I: Kawasaki Frontale (JPN), Guangzhou FC (CHN), JDT (MAS) dan pemenang play-off tiga (KOR/THA).


Kumpulan J: Shanghai Port FC (CHN), Chiangrai United (THA), Kitchee SC (HKG) dan pemenang play-off dua (JPN/AUS/MYA).


Piala AFC

----------------


Kumpulan A: Al Ansar (LBN), Al Seeb Club (OMA), Jableh (SYR) dan Kuwait Club (KUW).


Kumpulan B: Al Riffa (BAH), Shabab Al Khalil (PLE), Dhofar Club (OMA) dan Al Arabi SC (KUW).


Kumpulan C: Tishreen (SYR), Nejmeh (LBN), East Riffa (BHR) dan Hilal Al-Quds (PLE).


Kumpulan D: Gokulam Kerala (IND), Bashundhara Kings (BAN), Maziya Sports and Recreation (MDV) dan pemenang play-off antara enam pasukan dari Asia Selatan.


Kumpulan E: Altyn Asyr (TKM), FC CSKA (TJK), PFC Neftchi (KGZ) dan pemenang play-off antara dua pasukan dari Uzbekistan FC Nasaf dan PFC Sogdiana.


Kumpulan F: FC Khujand (TJK), FC Dordio (KGZ) dan Kopetdag (TKM).


Kumpulan G: Kaya FC Iloilo (PHI), Bali United FC (IND), KDA FC (MAS) dan pemenang play-off antara wakil Kemboja dan Laos.


Kumpulan H: KL CITY FC (MAS), Shan United FC/ Ayewady United FC (MYA), Tampines Rovers (SIN) dan PSM Makassar (IDN).


Kumpulan I: Viettel City (VIE), Hougang United (SIN), Phnom Penh Crown FC (CAM) dan Hantharwady United FC (MYA).


Kumpulan J: Eastern Long Lions (HKG), Must CPK (MAC), Tainan City FC (TPE) dan pemenang play-off (KHG/MNG).


-- BERNAMA