top of page
  • newsatmy

Ada usaha mahu gagalkan Akta Kawalan Hasil Tembakau


SAYA memang ikuti rapat penggubalan RUU Kawalan Hasil Tembakau 2022 (PPKHT22) ini. RUU ini amat dekat di hati saya sebagai doktor perubatan sebab melibatkan kesihatan, nasib anak bangsa yang ketagih serta demi menyelamatkan nyawa agar tidak ramai lagi yang akan menjadi mangsa asap rokok serta vape.


Melalui pengamatan saya, setelah membaca posting-posting Ahli Parlimen, mengikuti pembentangan dan perbahasan, saya merasakan ada usaha pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan PPKHT22 ini.


Atas alasan isu-isu perlembagaan, nak menjamin hak asasi kanak-kanak, kelemahan kesiapsiagaan pelaksanaan dan hak peribadi, besar kemungkinan RUU ini akan ditangguhkan.


Supaya nampak alasan itu kukuh, Ahli Parlimen minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menilai dan mengkaji semua aspek di atas, dan akan dibawa ke persidangan akan datang.


Tapi agaknya semua alasan ini nak jaga survival masing-masing kerana sudah hampir PRU. Mereka akan bertindak secara enblock, bukannya individu. Bercakap atas dasar jawatankuasa tertentu atau blok parti tertentu sedangkan sejak dari penyediaan draf Akta PPKHT22 ini sudah banyak libat urus yang dijalankan oleh urusetia. Semua pihak terlibat termasuk industri rokok itu sendiri.


Saya baca juga rungutan (dalam Twitter) dari Dr Helmy Haja yang menjadi Penasihat Sains YBMK, bahawa terdapat campur tangan pemain industri ke dalam Parlimen. Suasana ini sebenarnya tidak sihat. Apabila pemain industri rokok dan vape mungkin dah melobi Ahli Parlimen, pertimbangan untuk membahas dan mengundi sama ada sokong atau lawan akta ini akan diragui.


Bayangkan, jika tangguh, RUU ini mungkin akan dimasukkan dalam peti sejuk. Agenda Parlimen akan datang lebih kepada belanjawan. Kita pun semua tahu bahawa semua ahli politik berada dalam suasana yang tak menentu. PRU sudah semakin hampir. Semua nak jaga kedudukan masing-masing dalam PRU akan datang. Isu kesihatan seperti RUU Kawalan Tembakau ini bukan jadi agenda utama dah. Inilah punca kegagalan RUU PPKHT22 ini.


Kami yang berada dalam bidang kesihatan ini akan terus berjoget dengan jumlah kes bahana rokok dan vape. Anak-anak sekolah dan remaja terus merokok tanpa kawalan perundangan. Kawalan sosial sememangnya sudah gagal! Penjual rokok dan vape semakin berani sebab tiada regulasi perundangan.



DR SUHAZELI ABDULLAH

Pakar Perubatan Keluarga

Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia

bottom of page