top of page
  • newsatmy

Ada Yang Jual Kit Ujian Kendiri Covid-19 Bawah RM10

29 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpandangan pasaran bebas wajar menentukan harga kit ujian kendiri Covid-19.


Mengambil pendekatan tersebut, Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak akan menetapkan harga jualan dan terpulang kepada pasaran untuk menentukannya.


“Hari ini, harga jualannya hampir RM20 tetapi kita mendapat keyakinan daripada pengeluar, mereka meyakinkan kita ada sesetengahnya akan menjual bawah RM10.


“Ini yang kita nanti-nantikan. Jadi saya rasa pihak kementerian tak perlu menentukan harga maksimum atau harga minimum untuk kit ujian kendiri ini. Kita biarkan pasaran bebas menentukan harga tersebut,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.


Rosol menambah, kit ujian kendiri Covid-19 akan dijual bukan sahaja di farmasi atau kedai-kedai ubat, tetapi akan diperluas penjualannya di pusat membeli-belah, rantaian kedai-kedai dan stesyen-stesyen minyak dalam masa terdekat.


“Jadi ini akan memudahkan lagi pengguna untuk mendapatkan kit ujian kendiri dan juga untuk memastikan berlaku persaingan sihat,” jelasnya.

bottom of page